17 September 2014

Kad Kredit: Bagaimana Ia Boleh Memberi Manfaat Kepada Anda (Bahagian 2)

Baca Bahagian 1

Diskaun

Sekiranya anda melawati mana-mana website bank yang menawarkan kad kredit, hampir pasti website tersebut turut mengiklankan diskaun yang ditawarkan kepada pelanggan kad kredit. Diskaun ini antara manfaat yang boleh dinikmati secara terus sekiranya pelanggan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Kebiasaan syaratnya antaranya adalah pelanggan harus berbelanja minimum ringgit, atau berbelanja pada hari-hari yang telah ditetapkan, atau membeli kuantiti pertama sesuatu produk dan boleh membeli produk yang sama untuk kuantiti yang kedua pada harga diskaun.

Terdapat pelbagai tawaran diskaun yang sering diiklankan oleh bank. Antaranya adalah penginapan atau buffet di hotel-hotel terkemuka, restoran-restoran, kedai-kedai perabot, elektrik dan elektronik, salon dan spa. Pelanggan berpeluang menikmati tawaran diskaun ini apabila pembayaran dibuat menggunakan kad kredit bank yang menawarkan diskaun tersebut.

Pun begitu, kadang-kadang tawaran diskaun ini ada catch-nya. Salah satu yang sering kali saya temui adalah tawaran diskaun itu hanya untuk produk yang dijual pada harga normal sahaja. Sekiranya produk itu dipakejkan, atau dipromosikan pada harga yang lebih rendah pada waktu-waktu tertentu, maka tawaran diskaun ini tidak boleh digunakan.

Akses Pada Tunai Semasa Kecemasan

Salah satu perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna kad kredit ialah pengeluaran tunai. Pengeluaran tunai ini konsepnya lebih kurang sama dengan pembiayaan peribadi yang boleh dibuat di bank.

Apabila pengeluaran tunai di buat, jumlah tunai yang dikeluarkan tersebut akan direkod sebagai hutang tambahan yang perlu pelanggan langsaikan. Setiap pengeluaran tunai yang dilakukan akan dikenakan caj tertentu. Caj ini telah ditentukan oleh pihak bank dan ada dinyatakan dalam manual yang diberikan semasa anda menerima kad kredit anda buat pertama kali.

Jumlah tunai yang boleh dikeluarkan adalah terhad. Had yang ditetapkan adalah bergantung kepada pihak bank. Setakat ini saya belum pernah jumpa bank yang menawarkan pengeluaran tunai sehingga 100% daripada had kad kredit. Maksudnya, sekiranya had kad kredit anda ialah RM10,000, tidak ada bank yang saya temui yang membenarkan para pelanggannya mengeluarkan tunai pada jumlah RM10,000 tersebut.

Akses pada tunai ini bermanfaat sekiranya berlaku kecemasan dan pelanggan terpaksa membayar sesuatu dan bayaran hanya boleh dibuat dengan tunai sahaja. Kejadian ini boleh terjadi di mana-mana jua pada bila-bila masa kerana di Malaysia, masih banyak lagi tempat yang tidak menerima pembayaran secara kad kredit.

Kemudahan Dan Keselamatan Semasa Bermusafir di Luar Negara

Bagi yang sering bermusafir jauh, mereka akan terasa keperluan yang sangat mendesak untuk mengambil kad kredit atas beberapa faktor, antaranya keselamatan.

Berada di luar negara memerlukan kita untuk lebih berhati-hati kerana kita tidak mengenali secara mendalam suasana masyarakat di situ. Kita mungkin dengar pelbagai cerita indah tentang sesuatu negara, tetapi banyak hakikat tersembunyi yang tidak diketahui.

Sekiranya kita membawa tunai dengan banyak ketika berada di luar negara, kita berpotensi untuk kehilangan arah tuju sekiranya berlaku kecurian pada kita. Tunai yang hilang memang tidak boleh dicari semula. Berbeza dengan kad kredit. Sekiranya berlaku kecurian, apa yang perlu dibuat adalah hubungi bank kad kredit tersebut secepat mungkin. Bila pulang rumah, call sahaja bank untuk menghantar kad yang baru.

Walaupun penggunaan kad kredit di luar negara adalah lebih berkos berbanding menggunakan tunai, tetapi kos yang ditanggung itu berbaloi dengan risiko yang kita hadapi di sana.

Kesimpulannya

Mahu pakai atau tidak, itu terpulang kepada anda. Ia membawa manfaat sekiranya anda mampu berdisiplin, ia juga membawa mudharat sekiranya anda tidak mampu mengawal diri. Tiada paksaan untuk anda menggunakannya bagi yang belum, mahu pun meninggalkannya bagi yang sedang menggunakannya.

Tujuan saya hanya untuk membentangkan manfaat yang kita boleh ambil darinya.


Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

10 September 2014

Kad Kredit: Bagaimana Ia Boleh Memberi Manfaat Kepada Anda (Bahagian 1)

KAD KREDIT. Ramai yang menganggapnya bahaya lantas bertindak menjauhkan diri darinya. Ramai pula yang mengambilnya lantas menggunakannya dengan sewenang-wenangnya. Dalam keadaan ini, siapa yang salah, kad kredit atau penggunanya?

Tetapi bukan itu tujuan artikel ini ditulis.

Tidak dinafikan, kad kredit ini membawa mudharat yang besar kepada pengguna yang tidak pandai mengawal diri. Jumlah manusia yang terjerumus ke lembah bangkrap akibat hutang kad kredit bukannya sedikit. Mereka gagal mengawal diri mereka daripada terus berbelanja sewenang-wenangnya sehingga mencapai had kad. Akhirnya, akibat tidak mampu bayar, bangkrap adalah pilihan seterusnya.

Di sebalik mudharat itu, terdapat banyak manfaat yang kita boleh dapat dengan menggunakan kad kredit. Jika tiada manfaat, masakan bank mahu menawarkannya kepada pelanggan. Terlalu banyak pilihan kad kredit yang bagus di luar sana. Apa yang perlu kita buat ialah membuat sedikit kajian dengan bertanya kepada pengguna sedia ada, atau terus berhubung dengan wakil bank yang dilantik.

Reward Points

Sesetengah kad kredit menawarkan reward points dengan setiap ringgit yang dibelanjakan. Ada yang menawarkan RM1 = 1 point, ada juga yang menawarkan lebih daripada itu. Ada juga yang memberikan point lebih sekiranya pelanggan berbelanja pada kedai-kedai tertentu, hari-hari tertentu, atau waktu-waktu tertentu.

Daripada points yang diberikan, pelanggan berpeluang menukarnya kepada barangan pelbagai termasuk smartphone, TV, perkakas rumah, dan travelling gear. Ini dapat menjimatkan perbelanjaan kita sekiranya ada keperluan untuk mendapatkan barang-berang tersebut.

Pelanggan boleh juga menukarnya dengan baucar dan kupon. Yang menariknya, baucar dan kupon inilah yang boleh membantu kita untuk mengurangkan bebanan kewangan terutama pada waktu permulaan musim sekolah. Banyak duit yang diperlukan untuk membeli pakaian seragam, buku-buku dan alat-tulis.

Reward points ini juga boleh digunakan untuk membayar cukai kerajaan yang perlu dibayar oleh semua pengguna kad kredit, iaitu sebanyak RM50 setahun. Ini sudah tentu akan melegakan mereka yang memang tidak suka membayar cukai kepada kerajaan.

Cash Back

Pada pandangan saya, tawaran cash back ini tidak begitu menarik berbanding reward points. Ini kerana, terlalu banyak limitation yang diletakkan. Contohnya, anda hanya akan mendapat cash back sekiranya anda berbelanja sekian-sekian RM sebelum layak menerima cash back. Ada juga yang hanya menawarkan cash back untuk perbelanjaan di kedai-kedai tertentu. Tamabahan pula, cash back amount hanya terhad untuk sekian-sekian amount sahaja.

Tetapi tawaran cash back ini tetap menarik kerana pelanggan tetap mendapat manfaat berbanding dengan menggunakan cash semata-mata. Walaupun kadar cash back ini kellihatan kecil, sekiranya dijumlahkan kesemua perbelanjaan yang layak, ia masih signicant...sekiranya perbelanjaan bulanan kita juga besar.

Kelebihan cash back ini berbanding reward points ialah kita akan dapat menikmatinya segera. Maksudnya kita tidak perlu tunggu sehingga cash back kita mencecah amount tertentu sebelum boleh redeem. Cash back akan dibayar pada waktu yang telah ditetapkan oleh pihak bank, tanpa mengira berapa jumlah yang terkumpul. Bagi reward points, kita perlu mengumpul terlebih dahulu sebelum boleh redeem barang-barang atau voucher.

(bersambung...) Bahagian 2

Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda.
Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

03 September 2014

ASB: Apa Yang Anda Perlu Faham

Isu halal haram ASB ni sudah lama dibincangkan. Bahkan ulama' tempatan telah pun memberikan pandangan masing-masing dalam isu ini. Akan tetapi, seakan-akan sudah menjadi tradisi di mana-mana jua, kita akan bergaduh dalam apa jua isu yang ulama' sendiri berbeza pendapat. Isu ASB ini juga tak terkecuali.

Sebelum saya menulis lanjut, saya meminta jasa baik para pembaca untuk rendahkan ego masing-masing, letak ketepi dahulu pegangan yang kita ada selama ini tentang ASB, baik anda di pihak yang mengharuskan atau yang mengharamkan ASB.

Dalam penulisan ini, saya tidak akan membahaskan perbezaan pendapat yang wujud antara ulama' di Malaysia memandangkan ia bukanlah bidang yang saya mahir. Anda boleh google sahaja untuk mengetahui hujjah yang digunakan oleh ulama' yang mengatakan ASB itu harus, dan ulama' yang mengatakan ASB itu haram.

Saya hanya akan bentangkan beberapa maklumat yang saya perolehi daripada Laporan Kewangan ASB sendiri. Dengan maklumat yang saya bentangkan ini, saya mengharapkan anda akan menilai sendiri dengan iman anda. Kerana akhir sekali, yang akan menjawab depan Allah nanti adalah anda, bukan saya atau mana-mana ahli keluarga anda atau para ulama' mahupun kawan-kawan anda.

Dana ASB & Di Mana Ia Dilaburkan

Sepertimana yang ramai yang sudah sedia maklum, Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah sejenis unit amanah (unit trust) yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). ASNB merupakan syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), iaitu investment arm bagi kerajaan Malaysia yang merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Berdasarkan Laporan Kewangan ASB 2013, jumlah dana yang terkumpul adalah lebih kurang RM127 billion. Daripada jumlah ini, dana dilaburkan pada beberapa beberapa instrumen pelaburan. Yang paling besar adalah pelaburan ekuiti atau pasaran saham di Bursa Malaysia, iaitu lebih kurang 72.42% daripada jumlah dana.

Saya gagal mencari senarai lengkap pelaburan yang dibuat oleh dana ASB. Setakat yang saya perolehi, laporan kewangan yang dijumpai hanya menyenaraikan 20 pelaburan terbesar. Bagi Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2013, berikut adalah senarai 20 kaunter tersebut (m/s: 5):

Bil Syarikat % Pelaburan
1 Malayan Banking Berhad 21.33
2 Sime Darby Berhad 12.77
3 UMW Holdings Berhad 3.81
4 Axiata Group Berhad 3.36
5 Maxis Berhad 2.74
6 Tenaga Nasional Berhad 2.70
7 Telekom Malaysia Berhad 1.65
8 I&P Group Sdn Berhad 1.60
9 Digi.Com Berhad 1.27
10 Petronas Chemicals Group Berhad 1.24
11 MMC Corporation Berhad 1.13
12 Petronas Gas Berhad 1.12
13 CIMB Group Holdings Berhad 1.04
14 MISC Berhad 0.94
15 Fraser & Neave Holdings Berhad 0.81
16 IOI Corporation Berhad 0.80
17 Malaysia Airports Holdings Berhad 0.76
18 SP Setia Berhad 0.71
19 Kuala Lumpur Kepong Berhad 0.69
20 Public Bank Berhad 0.66

Majoriti daripada syarikat di atas berada dalam senarai top 20 untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 3 tahun kewangan. Untuk tempoh penyelidikan yang singkat saya lakukan ini, saya tidak dapat pastikan berapa lama sebenarnya tempohnya.

Suruhanjaya Sekuriti & Garispanduan Shariah

Kesemua 20 syarikat di atas tersenarai dalam Bursa Malaysia. Buat pengetahuan pembaca, semua syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti. Bagi memudahkan serta menarik minat lebih ramai lagi pelabur Muslim dalam dan luar negara, Suruhanjaya Sekuriti telah membuat garispanduan syariah bagi mengenalpasti syarikat mana yang boleh dikategorikan sebagai patuh syariah, dan syarikat mana yang tidak patuh syariah.

Garispanduan ini telah mengalami beberapa perubahan sejak ia diperkenalkan. Ini adalah sebagai usaha penambah-baikan yang dilakukan Suruhanjaya Sekuriti bagi meningkatkan kualiti pematuhan syariah dari semasa ke semasa, seterusnya menaikkan lagi nama Malaysia di persada antarabangsa sebagai destinasi pelaburan Islamik.

(Untuk maklumat lanjut tentang garispanduan shariah yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, anda boleh semak di sini. Saya tidak akan mengulas tentang kaedah yang digunakan kerana ia adalah di luar kemahiran saya.)

Oleh itu, kerja saya menjadi mudah untuk memeriksa kaunter mana yang patuh atau tidak patuh syariah, menurut garispanduan yang diputuskan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Setakat Jun 2014, daripada 905 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, sebanyak 665 syarikat disenaraikan sebagai kaunter saham yang patuh syariah atau kira-kira 73% daripada jumlah keseluruhannya.

Kaunter Tidak Patuh Syariah Dalam Pelaburan ASB

Berdasarkan carian saya dalam senarai kaunter patuh syariah yang terbaru yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti yang berkuatkuasa mulai 30 Mei 2014 yang lalu, terdapat 3 daripada 20 syarikat yang tersenarai di atas yang dikategorikan sebagai tidak patuh syariah iaitu:

BilSyarikat% Pelaburan
1Malayan Banking Berhad21.33
2CIMB Group Holdings Berhad1.04
3Public Bank Berhad0.66
JUMLAH23.33

Ini bermakna, SEKURANG-KURANGNYA 23.33% daripada keseluruhan dana ASB dilaburkan pada dana yang tidak patuh syariah. Saya kata SEKURANG-KURANGNYA adalah kerana ini setakat yang saya mampu selidik.

Jumlah peratus pelaburan dalam kaunter tidak patuh syariah ini saya dapati berkurangan. Tahun 2012, jumlahnya adalah sekurang-kurangnya 25.16% daripada RM110 billion (jumlah dana 2012). Sebaliknya, dari segi amount yang dilaburkan dalam kaunter tidak patuh syariah, ia sebenarnya bertambah iaitu daripada sekitar RM27.1 billion pada tahun 2012 kepada sekitar RM29 billion pada tahun 2013.

Pilihan Di Tangan Anda

Saya telah bentangkan maklumat yang saya mampu perolehi seperti di atas. Ulama' juga telah membentangkan hujjah mereka berdasarkan kajian mereka dan mengeluarkan fatwa berdasarkan hasil perbincangan sesama mereka. Sekarang ini, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memilih. Apabila anda ingin membuat pilihan, pilihan tersebut hendaklah berasaskan keyakinan anda dan bukannya ikut-ikutan.

Setelah anda membuat pilihan, saya mendoakan agar anda tidak bergaduh dengan orang yang berbeza pandangan dengan anda. Perkara ini adalah terlalu remeh untuk menjadi subjek pergaduhan anda. Ulama' sendiri berbeza pendapat dalam hal ini dan mereka tidak pula bergaduh sesama mereka. Kita sebagai orang awam lagilah perlu mencontohi akhlaq yang ditunjukkan oleh ulama', kerana pergaduahan anda tidak akan membawa kepada penambahan iman, sebaliknya hanya ego yang akan meluak-luak.

Bagi yang memilih untuk terus melabur dalam ASB, berdoalah agar suatu hari nanti ASNB akan melaburkan dana ASB itu 100% pada instrumen pelaburan yang patuh shariah.

Bagi yang memilih untuk berhenti melabur dalam ASB, anda perlu maklum bahawa keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan tersebut perlu dilupuskan sebahagiannya. Modal pelaburan anda boleh simpan. Sekiranya anda malas kira, anda lupuskan kesemuanya sekali. Sekiranya anda rajin untuk membuat penyelidikan untuk menentukan berapa anggaran jumlah keuntungan yang perlu dilupuskan, dapatkan orang yang terlatih untuk memberikan pandangan sewajarnya. Untuk melupuskannya pula, anda boleh rujuk tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman ini.

Bagi yang memilih untuk tidak melabur dalam ASB, inshaAllah dalam kesempatan lain saya akan cuba menulis alternatif kepada pelaburan ASB. Kalau anda mahu segera, boleh isikan maklumat anda di borang ini supaya saya boleh follow up personally.

Nota:
  1. Kaunter patuh syariah bermaksud syarikat tersebut BERJAYA memenuhi minimum standard yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.
  2. Kaunter tidak patuh syariah bermaksud syarikat tersebut GAGAL memenuhi minimum standard yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.
  3. Sila rujuk link ini untuk mengetahui apakah minimum standard yang telah digariskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.
  4. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Tentang Keharusan ASB (link)
  5. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Tentang Pengharaman ASB (link)
  6. Ulasan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman Berkenaan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaaan (link)
Sumber Rujukan:
  1. Laporan Kewangan ASB Tahun 2013
  2. Laporan Kewangan ASB Tahun 2012
  3. Senarai Sekuriti Patuh Shariah oleh Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti (Effective: 30 May 2014)


Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.