19 November 2014

Belia & Cabaran Kewangan

Gambar hiasan

FAKTA: Hampir 25% daripada 12,381 individu yang telah diisytiharkan muflis dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 2014 adalah belia berumur 34 tahun dan ke bawah. (sumber)

Punca UTAMA belia ini muflis ada tiga:
1. Pinjaman kereta
2. Pinjaman peribadi
3. Kad kredit

Mengapa?

Bukan mudah untuk menjawab soalan ini. Ia melibatkan banyak faktor di sekeliling yang akhirnya menyumbang ke arah tindakan yang memusnahkan masa depan mereka sendiri. Ya, faktor sekelilinglah yang banyak mempengaruhi tindakan mereka.

Pernah suatu ketika, saya telah ditanya, "Kau tak minat ke kerja di investment bank? Gaji masyuk bonus lebat!". Saya menjawab, "I am a family man". Jawapan saya itu dibalas dengan, "Sekarang bolehlah kau kata macam tu, nanti kawan-kawan kau dah pakai kereta besar, kau melopong je la".

Saya juga belia. Saya juga menyimpan minat terhadap kereta-kereta mewah, bahkan saya berangan untuk memiliki sebuah BMW atau Mercedes pada suatu hari nanti. Saya juga ingin memiliki smartphone canggih dan paling terkini seperi iPhone atau Galaxy Note, dan juga tabet seperti iPad atau Note Pro. Saya bukan tidak terliur langsung melihat rakan sebaya yang sudah memiliki kereta Honda, Nissan atau Ford, sedangkan saya hanya memiliki kereta Proton.

Tetapi bukan sekarang.

Isu kemampuan itu satu, tetapi yang lebih besar ialah isu KEUTAMAAN saya sekarang.

Prioriti

Dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang ini, banyak perkara yang perlu diubah. Perubahan ini sangat perlu supaya kita tidak terus menerus menjadi mangsa keadaan. Andai perubahan ini tidak dilakukan, akhirnya yang menjadi mangsa adalah kita.

Perubahan peringkat awal sekali ialah perubahan pandangan terhadap kehidupan.

Ramai belia yang terjebak dengan pandangan materialistik terhadap kehidupan. Materialistik yang saya maksudkan bukanlah terhad kepada "kegilaan" pada harta benda, tetapi materialistik dengan maksud yang lebih luas iaitu menilai setiap sesuatu hanya pada zahirnya semata-mata.

Zahirnya, memandu sebuah kereta Nissan adalah lebih selesa berbanding sebuah kereta proton. Keselesaan tersebut telah mengaburi anda untuk melihat perkara yang lebih utama pada masa sekarang. Anda mungkin mampu untuk memilikinya, tetapi anda perlu ingat, anda memilikinya dengan berhutang.

Zahirnya, memiliki smartphone yang paling canggih dan terkini adalah lebih selesa berbanding memiliki smartphone yang berharga di bawah RM400. Tetapi kecanggihan itu dibayar dengan harga yang tinggi. Keselesaan yang anda mahukan itu perlu dibayar dengan wang simpanan anda atau berhutang kad kredit.

Memiliki keselesaan adalah adalah impian semua orang. Tetapi keselesaan itu ada harganya. Persoalan utama yang perlu ditanya adalah, apakah berbaloi memiliki keselesaan tersebut sekiranya anda terpaksa mengorbankan wang simpanan yang dikumpul berbulan atau bertahun? Atau ada yang sanggup mengambil hutang yang lebih?

Zahirnya, memang anda akan menikmati segala keselesaan yang anda beli. Tetapi disebalik keselesaan itu, ada tanggungan yang besar menanti. Apakah anda bersedia sekiranya anda kehilangan pendapatan secara tiba-tiba?

Mungkin anda rasa itu mustahil terjadi pada diri anda, sebab memang susah manusia ini untuk menghadapi realiti kehidupan. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada mangsa penipuan skim cepat kaya. Pelajarilah daripada mereka.

Nasihat saya kepada yang ingin melakukan sesuatu untuk mendapat kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang ialah ubah cara anda pandang kehidupan anda pada masa sekarang. Korbankan keselesaan sekarang demi kesenangan masa hadapan. Korbankan kereta yang lebih selesa gajet yang lebih canggih supaya anda ada lebihan wang untuk anda simpan dan laburkan. Korbankan makanan yang sedap-sedap di restoran pada waktu sekarang agar pada masa akan datang anda mampu menikmatinya dengan lebih tenang.

Jika anda risau pandangan orang lain terhadap diri anda, fikirlah bahawa yang merasa susah dan senang adalah anda. Mereka hanya berkata-kata apa yang tersirat di hati mereka. Kebiasaannya orang yang banyak bercakap itu dan ini kepada anda, mereka tidak akan menolong anda sewaktu anda susah. Tetapi pada waktu anda senang, seringkali mereka muncul dalam hidup anda.

Berhutang BUKAN ikut kemampuan

Seringkali yang dinasihatkan adalah berhutang ikut kemampuan. Nasihat yang baik, tetapi tidak sesuai untuk belia. Belia harus berhutang di bawah daripada garisan had kemampuan. Jika ikut gaji, ramai yang mampu memiliki kereta Honda City, Ford Fiesta atau Toyota Vios. Tetapi pemilikan kereta ini datang dengan monthly maintenance seperti kos tol, minyak dan servis. Jumlah kos pemilikan kereta seperti ini senang-senang sahaja melebih RM1,000 sebulan.

Fikirlah kembali.

Kemampuan anda berhutang bukan bermakna anda perlu berhutang sebanyak itu. Kemampuan anda berhutang tidak menceritakan nilai sebenar bebanan kewangan yang anda bakal hadapi. Sekiranya anda memilih untuk berhutang, buatlah pilihan dengan bijak. Saya amat sarankan anda hanya berhutang sekadar keperluan yang betul-betul perlu sahaja. Kerana hutang ini, sekiranya tidak diuruskan dengan baik. akhirnya anda mungkin termasuk dalam statistik seperti di atas tadi.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda.
Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

05 November 2014

Perkara Wajib Tahu Sebelum Melabur (Bhgn 2)

Baca Bahagian 1

#1 dan #2 adalah penting untuk anda tahu terutamanya bagi mengelakkan diri anda ditipu oleh penipu-penipu yang sangat licik. Walau sehebat mana pun tawarannya, jika anda ingin wang dan (mungkin) masa depan anda selamat, anda perlu ambil langkah tersebut.

Untuk point berikutnya, ia adalah penting supaya anda faham pelaburan apa yang terbaik untuk anda.

#3 - Apa yang anda ingin capai dengan pelaburan anda

Ramai yang mungkin menganggap apa-apa jenis pelaburan pun sesuai untuk mencapai objektif pelaburan mereka. Sebenarnya TIDAK. Apa yang anda ingin capai daripada pelaburan anda PENTING kerana ia akan menentukan tempoh dan jenis pelaburan yang sesuai.

Tiada satu pon jenis pelaburan yang sesuai untuk semua objektif dan orang. Pelaburan bukan suatu perkara yang "one size fits all". Setiap pelaburan adalah tailored-made supaya ia sesuai untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

Sekiranya anda ingin melabur untuk kegunaan hari tua, anda sebenarnya bercakap tentang suatu pelaburan jangka (sangat) panjang, sekiranya anda berumur bawah 35 tahun. Dengan tempoh masa yang lama ini, anda perlukan suatu pelaburan yang dapat memberikan sustainable return. Dengan tempoh tersebut juga, ia membantu anda untuk menentukan berapa jumlah pendapatan yang anda perlu ketepikan supaya anda ada jumlah yang cukup untuk hidup semasa hari tua anda tanpa anda perlu bekerja.

Sekiranya anda tidak pasti jenis pelaburan apa yang sesuai dengan objektif yang anda ingin capai, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan pihak yang pakar.

#4 - Adakah anda risk-tolerance atau risk-averse

Seorang yang mempunyai sifat risk-tolerance bermaksud seorang yang sanggup mengambil risiko, walaupun risiko itu tinggi. Risiko yang tinggi bermaksud kemungkinan untuk berlaku kerugian adalah tinggi, dalam masa yang sama, pulangan yang MUNGKIN diperolehi juga lebih tinggi - high risk high return. Seorang yang bersifat risk-averse adalah sebaliknya.

Setiap orang mempunyai risk appetite yang berbeza. Seorang ahli perniagaan kebiasaannya adalah seorang yang berani mengambil risiko kerana dia berani melaburkan duit yang banyak dalam keadaan dia belum tentu mendapat pualangan yang tinggi atau sebaliknya. Seorang yang melabur dalam money market SAHAJA kebiasaannya adalah seorang yang kurang berani mengambil risiko kerana risiko kerugian adalah terlalu rendah.

Anda perlu mengenali sama ada diri anda adalah seorang risk-tolerance atau  risk-averse kerana ia akan membantu untuk menentukan jenis pelaburan yang sesuai dengan anda.

Apakah seorang yang risk-averse boleh bertukar menjadi risk-tolerance dan sebaliknya? BOLEH.

Kebiasaannya proses penukaran ini melibatkan elemen luar yang boleh mengubah keyakinan seseorang terhadap sesuatu perkara. Boleh jadi ada kejadian-kejadian tertentu yang mengubah sudut pandang seseorang, atau ada seseorang yang berjaya meyakinkan seseorang bahawa sesuatu perkara itu adalah selamat atau bahaya.

Apa yang lebih penting ialah anda harus betul-betul yakin dengan apa yang anda laburkan. Dapatkan pandangan pihak yang arif sekiranya anda tidak tahu. Dan jangan mudah terpedaya dengan tipu daya skim piramid, skim cepat kaya dan bermacam-macam skim yang wujud di dunia ini kerananya akhirnya yang merana adalah ANDA.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.