02 January 2016

5 Tips Selamat Untuk Membeli Kereta

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kereta adalah suatu keperluan bagi kebanyakan orang baik yang tinggal di dalam mahupun di luar bandar. Kereta kebiasaannya adalah perbelanjaan kedua terbesar selepas rumah. Seperti mana ramai orang menjadi sangat berhati-hati ketika memilih rumah, kita juga perlu berhati-hati ketika ingin memilih kereta yang sesuai untuk kita.

Sekiranya anda mahu membeli kereta pertama atau sedang berkira-kira untuk menukar kereta baru, saya kongsikan beberapa perkara yang perlu anda fikirkan:

1. Kos Pembiayaan

Saya sarankan agar kos pembiayaan untuk kereta anda tidak melebihi 10% daripada pendapatan kasar anda. Contohnya, sekiranya pendapatan kasar anda adalah sekitar RM3,000 sebulan, jumlah maksimum kos pembiayaan untuk kereta anda adalah RM300. Sekiranya pendapatan kasar anda adalah RM4,000 sebulan, maka RM400 adalah maksimumnya.

Anda akan faham kenapa saya sarankan hanya 10% selepas anda membaca sehingga habis artikel ini.

2. Kos Minyak dan Tol

Kos minyak dan tol sangat bergantung kepada jenis kereta yang anda beli, jalan mana yang anda biasa lalui, dan sejauh mana anda berjalan setiap hari, minggu dan bulan.

Sekiranya anda menggunakan kereta untuk ulang-alik ke tempat kerja, jumlah minimum RM300 sebulan untuk kos minyak dan tol adalah fair bagi kebanyakan kita. Sudah pasti ada yang lebih daripada tersebut.

3. Kos Pembaikan (Maintenance)

Kos maintenance bagi kereta Proton, Perodua, Toyota, Honda dan seumpamanya tidaklah tinggi berbanding kereta seperti BMW dan Mercedes. Rata-ratanya kadar yang dikenakan adalah RM200-RM300 untuk setiap servis asas dan mungkin naik setinggi RM500-RM700 bagi servis yang lebih komprehensif.

Saya anggarkan kos maintenance dalam setahun untuk kereta sekitar RM1,500 atau RM125 sebulan.


4. Kos Takaful Kereta dan Road Tax

Kos takaful dan road tax sangat bergantung kepada jenis dan harga kereta. Sekiranya anda tidak pernah membuat tuntutan, anda layak untuk mendapat NCD atau No Claim Discount. NCD akan bertambah setiap tahun sekiranya tiada apa-apa tuntutan yang dibuat dalam tempoh tersebut. Jumlah maksimum NCD yang akan diberikan adalah 55%. NCD sangat membantu untuk mengurangkan jumlah sumbangan atau premium untuk takaful.

Bagi kereta baru, rata-rata kos premium adalah pada minimum RM1,000. Lebih mahal harga kereta tersebut, lebih tinggi premium-nya. Kereta second-hand adalah lebih murah premium-nya kereta harganya sudah banyak jatuh.

Bagi road tax, kosnya adalah tetap setiap tahun dan ianya bergantung kepada CC kereta, sama ada kereta tempatan atau import, serta sama ada kereta tersebut dimiliki oleh individu atau syarikat.

5. Kos Tukar Tayar

Kos tayar bergantung kepada saiz, jenis dan jenama tayar. Semakin besar size tayar, semakin mahal harganya. Tayar mempunya pelbagai jenis. Jenis tayar ini ditunjukkan melalui kod yang terdapat pada tayar tersebut. Jenama seperti Intercontinental adalah antara jenama yang murah dan berkualiti. Manakala jenama Goodyear adalah tergolong dalam jenama yang lebih mahal. Sudah tentu anda mempunyai pilihan untuk memilih saiz (setiap kereta ada minimum dan maksimum saiz yang boleh digunakan), jenis dan jenama.

Anda boleh mengharapkan agar tayar anda tidak pancit dibocorkan oleh paku atau benda-benda tajam dijalanan, tetapi setiap tayar mempunyai tempoh maksima. Ada yang 50,000 km, ada yang 60,000 km dan seterusnya, bergantung kepada kualiti tayar tersebut. Saya anggarkan, setiap 2 tahun anda mungkin perlu menukar keempat-empat tayar tersebut sekiranya anda berjalan sejauh 25,000 - 30,000 km setahun.

Kesimpulan

Jika anda fikir kos memiliki kereta ini hanyalah pada kos pembiayaan daripada bank, elok anda fikirkannya sekali lagi. Ada pelbagai lagi kos yang tidak saya sertakan seperti kos overhaul (sekiranya anda tersangkut dalam banjir) atau ketuk dan cat semula (sekiranya ada terlibat dalam kemalangan).

Apa yang saya boleh jamin ialah kos untuk memiliki kereta ini tidak murah. Sebab itu saya sarankan agar kos pembiayaan kereta ana terhadkan hanya kepada 10% daripada pendapatan kasar anda agar anda tidak "lemas" dengan kos-kos lain yang datang sekali dengan pemilikan kereta tersebut.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

No comments:

Post a Comment