18 July 2014

Kenaikan OPR & Kesannya Kepada Kita

Pada 10 Julai 2014, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil keputusan untuk menaikkan Overnight Policy Rate (OPR) pada kadar 25 basis points (bp). Ini bermakna, OPR telah meningkat daripada 3.00% kepada 3.25%.

Apa itu OPR?

OPR adalah kadar yang ditetapkan oleh BNM bagi aktiviti pinjam meminjam antara bank-bank komersial di Malaysia.

Ya, antara bank juga ada berlaku pinjam meminjam. Ini kerana setiap memerlukan jumlah tunai dalam tangan yang secukupnya untuk meneruskan operasi dan bisnes.

Baca selanjutnya mengenai OPR di sini.

Mengapa ia dinaikkan?

Secara mudahnya (yang saya mampu fikir), ia adalah untuk menguruskan kadar inflasi yang sekarang ini berada lebih tinggi daripada purata kebiasaannya.

OPR dan inflasi ada hubungan yang sangat rapat. Jika yang satu naik, satu lagi akan turun, dan begitulah sebaliknya. Hubungan ini benar dalam banyak keadaan.

(Tetapi ada juga keadaan yang mana hubungan ini rosak. Apabila OPR turun, inflasi juga turun. Yang ini kena belajar ekonomi la untuk mengetahui dengan lebih lanjut).

Baca kenyataan BNM di sini.

Apa kesannya kepada bank-bank komersial?

Kos untuk meneruskan operasi dan bisnes akan meningkat, sesuai dengan peningkatan kadar pinjaman sesama mereka. Seperti kebiasaannya, bank-bank komersial akan memindahkan kos tersebut kepada para pelanggan (kita la tu) dengan meningkatkan Base Lending Rate (BLR) dan Base Financing Rate (BFR).

Nota:
BLR - digunakan oleh Bank-Bank Konsensional
BFR - digunakan oleh Bank-Bank Islam

Bagaimana ia memberi kesan kepada pelanggan?

Dengan kenaikan OPR ini, ia memberikan 2 kesan kepada para pelanggan.

1. Kesan baik: Sekiranya anda ada menyimpan duit di dalam bank, kadar keuntungan atau hibah (atau apa jua nama yang digunakan oleh bank anda) akan meningkat. Ia bergantung kepada bank-bank anda sejauh mana peningkatan tersebut.

2. Kesan buruk: Sekiranya anda ada melakukan pembiayaan secara floating rate, kadan bayaran bulanan anda akan meningkat, atau tempoh pembayaran pembiayaan anda akan lebih panjang, bergantung kepada penjanjian anda dengan bank.

Floating rate tu apa? Ada macam-macam jenis kadar ke?

Secara mudahnya, ada 2 jenis kadar yang digunakan oleh bank-bank komersial dalam urusan pembiayaan kepada para pelanggan:

1. Fixed rate: Atau dalam bahasa melayunya kadar tetap. Ini kerana kadarnya tidak akan berubah sepanjang tempoh pembiayaan walaupun berlaku krisis ekonomi atau ribut taufan politik. Kebiasaannya bank menggunakan fixed rate bagi jenis pembiayaan yang tempoh maksimumnya tidak panjang.

Contoh jenis pembiayaan yang menggunakan fixed rate adalah pembiayaan kereta (car financing) dan sesetengah pembiayaan peribadi (personal financing) yang lama.

2. Floating rate: Atau kadar terapung. Terapung kerana ia bergantung kepada kadar BLR/BFR.

Contohnya, kadar pembiayaan perumahan anda adalah BFR - 2.4%. Jika dulu BFR adalah 6.6%, maka kadar pembiayaan anda adalah 4.2%. Dengan kenaikan OPR ini, kadar BFR yang baru adalah 6.85%. Bermakna kadar pembiayaan anda yang baru adalah 4.45%.

Anda mungkin
a. perlu membayar bayaran bulanan yang lebih tinggi, atau 
b. tempoh pembiayaan anda akan dipanjangkan, 
bergantung kepada perjanjian pembiayaan anda dengan bank.

Untuk mengesahkan mana satu yang anda akan kena, sila hubungi bank anda cepat-cepat atau anda boleh semak sendiri dalam salinan perjanjian.

Orang yang paling terkesan dengan kadar yang baru ini adalah mereka yang banyak berhutang di luar kemampuan sebenar. Untuk orang seperti ini, saya nasihatkan agar urus diri anda sebaiknya kemudian uruskan kewangan anda.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda.
Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

No comments:

Post a Comment