03 September 2014

ASB: Apa Yang Anda Perlu Faham

Isu halal haram ASB ni sudah lama dibincangkan. Bahkan ulama' tempatan telah pun memberikan pandangan masing-masing dalam isu ini. Akan tetapi, seakan-akan sudah menjadi tradisi di mana-mana jua, kita akan bergaduh dalam apa jua isu yang ulama' sendiri berbeza pendapat. Isu ASB ini juga tak terkecuali.

Sebelum saya menulis lanjut, saya meminta jasa baik para pembaca untuk rendahkan ego masing-masing, letak ketepi dahulu pegangan yang kita ada selama ini tentang ASB, baik anda di pihak yang mengharuskan atau yang mengharamkan ASB.

Dalam penulisan ini, saya tidak akan membahaskan perbezaan pendapat yang wujud antara ulama' di Malaysia memandangkan ia bukanlah bidang yang saya mahir. Anda boleh google sahaja untuk mengetahui hujjah yang digunakan oleh ulama' yang mengatakan ASB itu harus, dan ulama' yang mengatakan ASB itu haram.

Saya hanya akan bentangkan beberapa maklumat yang saya perolehi daripada Laporan Kewangan ASB sendiri. Dengan maklumat yang saya bentangkan ini, saya mengharapkan anda akan menilai sendiri dengan iman anda. Kerana akhir sekali, yang akan menjawab depan Allah nanti adalah anda, bukan saya atau mana-mana ahli keluarga anda atau para ulama' mahupun kawan-kawan anda.

Dana ASB & Di Mana Ia Dilaburkan

Sepertimana yang ramai yang sudah sedia maklum, Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah sejenis unit amanah (unit trust) yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). ASNB merupakan syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), iaitu investment arm bagi kerajaan Malaysia yang merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Berdasarkan Laporan Kewangan ASB 2013, jumlah dana yang terkumpul adalah lebih kurang RM127 billion. Daripada jumlah ini, dana dilaburkan pada beberapa beberapa instrumen pelaburan. Yang paling besar adalah pelaburan ekuiti atau pasaran saham di Bursa Malaysia, iaitu lebih kurang 72.42% daripada jumlah dana.

Saya gagal mencari senarai lengkap pelaburan yang dibuat oleh dana ASB. Setakat yang saya perolehi, laporan kewangan yang dijumpai hanya menyenaraikan 20 pelaburan terbesar. Bagi Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2013, berikut adalah senarai 20 kaunter tersebut (m/s: 5):

Bil Syarikat % Pelaburan
1 Malayan Banking Berhad 21.33
2 Sime Darby Berhad 12.77
3 UMW Holdings Berhad 3.81
4 Axiata Group Berhad 3.36
5 Maxis Berhad 2.74
6 Tenaga Nasional Berhad 2.70
7 Telekom Malaysia Berhad 1.65
8 I&P Group Sdn Berhad 1.60
9 Digi.Com Berhad 1.27
10 Petronas Chemicals Group Berhad 1.24
11 MMC Corporation Berhad 1.13
12 Petronas Gas Berhad 1.12
13 CIMB Group Holdings Berhad 1.04
14 MISC Berhad 0.94
15 Fraser & Neave Holdings Berhad 0.81
16 IOI Corporation Berhad 0.80
17 Malaysia Airports Holdings Berhad 0.76
18 SP Setia Berhad 0.71
19 Kuala Lumpur Kepong Berhad 0.69
20 Public Bank Berhad 0.66

Majoriti daripada syarikat di atas berada dalam senarai top 20 untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 3 tahun kewangan. Untuk tempoh penyelidikan yang singkat saya lakukan ini, saya tidak dapat pastikan berapa lama sebenarnya tempohnya.

Suruhanjaya Sekuriti & Garispanduan Shariah

Kesemua 20 syarikat di atas tersenarai dalam Bursa Malaysia. Buat pengetahuan pembaca, semua syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti. Bagi memudahkan serta menarik minat lebih ramai lagi pelabur Muslim dalam dan luar negara, Suruhanjaya Sekuriti telah membuat garispanduan syariah bagi mengenalpasti syarikat mana yang boleh dikategorikan sebagai patuh syariah, dan syarikat mana yang tidak patuh syariah.

Garispanduan ini telah mengalami beberapa perubahan sejak ia diperkenalkan. Ini adalah sebagai usaha penambah-baikan yang dilakukan Suruhanjaya Sekuriti bagi meningkatkan kualiti pematuhan syariah dari semasa ke semasa, seterusnya menaikkan lagi nama Malaysia di persada antarabangsa sebagai destinasi pelaburan Islamik.

(Untuk maklumat lanjut tentang garispanduan shariah yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, anda boleh semak di sini. Saya tidak akan mengulas tentang kaedah yang digunakan kerana ia adalah di luar kemahiran saya.)

Oleh itu, kerja saya menjadi mudah untuk memeriksa kaunter mana yang patuh atau tidak patuh syariah, menurut garispanduan yang diputuskan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Setakat Jun 2014, daripada 905 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, sebanyak 665 syarikat disenaraikan sebagai kaunter saham yang patuh syariah atau kira-kira 73% daripada jumlah keseluruhannya.

Kaunter Tidak Patuh Syariah Dalam Pelaburan ASB

Berdasarkan carian saya dalam senarai kaunter patuh syariah yang terbaru yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti yang berkuatkuasa mulai 30 Mei 2014 yang lalu, terdapat 3 daripada 20 syarikat yang tersenarai di atas yang dikategorikan sebagai tidak patuh syariah iaitu:

BilSyarikat% Pelaburan
1Malayan Banking Berhad21.33
2CIMB Group Holdings Berhad1.04
3Public Bank Berhad0.66
JUMLAH23.33

Ini bermakna, SEKURANG-KURANGNYA 23.33% daripada keseluruhan dana ASB dilaburkan pada dana yang tidak patuh syariah. Saya kata SEKURANG-KURANGNYA adalah kerana ini setakat yang saya mampu selidik.

Jumlah peratus pelaburan dalam kaunter tidak patuh syariah ini saya dapati berkurangan. Tahun 2012, jumlahnya adalah sekurang-kurangnya 25.16% daripada RM110 billion (jumlah dana 2012). Sebaliknya, dari segi amount yang dilaburkan dalam kaunter tidak patuh syariah, ia sebenarnya bertambah iaitu daripada sekitar RM27.1 billion pada tahun 2012 kepada sekitar RM29 billion pada tahun 2013.

Pilihan Di Tangan Anda

Saya telah bentangkan maklumat yang saya mampu perolehi seperti di atas. Ulama' juga telah membentangkan hujjah mereka berdasarkan kajian mereka dan mengeluarkan fatwa berdasarkan hasil perbincangan sesama mereka. Sekarang ini, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memilih. Apabila anda ingin membuat pilihan, pilihan tersebut hendaklah berasaskan keyakinan anda dan bukannya ikut-ikutan.

Setelah anda membuat pilihan, saya mendoakan agar anda tidak bergaduh dengan orang yang berbeza pandangan dengan anda. Perkara ini adalah terlalu remeh untuk menjadi subjek pergaduhan anda. Ulama' sendiri berbeza pendapat dalam hal ini dan mereka tidak pula bergaduh sesama mereka. Kita sebagai orang awam lagilah perlu mencontohi akhlaq yang ditunjukkan oleh ulama', kerana pergaduahan anda tidak akan membawa kepada penambahan iman, sebaliknya hanya ego yang akan meluak-luak.

Bagi yang memilih untuk terus melabur dalam ASB, berdoalah agar suatu hari nanti ASNB akan melaburkan dana ASB itu 100% pada instrumen pelaburan yang patuh shariah.

Bagi yang memilih untuk berhenti melabur dalam ASB, anda perlu maklum bahawa keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan tersebut perlu dilupuskan sebahagiannya. Modal pelaburan anda boleh simpan. Sekiranya anda malas kira, anda lupuskan kesemuanya sekali. Sekiranya anda rajin untuk membuat penyelidikan untuk menentukan berapa anggaran jumlah keuntungan yang perlu dilupuskan, dapatkan orang yang terlatih untuk memberikan pandangan sewajarnya. Untuk melupuskannya pula, anda boleh rujuk tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman ini.

Bagi yang memilih untuk tidak melabur dalam ASB, inshaAllah dalam kesempatan lain saya akan cuba menulis alternatif kepada pelaburan ASB. Kalau anda mahu segera, boleh isikan maklumat anda di borang ini supaya saya boleh follow up personally.

Nota:
  1. Kaunter patuh syariah bermaksud syarikat tersebut BERJAYA memenuhi minimum standard yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.
  2. Kaunter tidak patuh syariah bermaksud syarikat tersebut GAGAL memenuhi minimum standard yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.
  3. Sila rujuk link ini untuk mengetahui apakah minimum standard yang telah digariskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.
  4. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Tentang Keharusan ASB (link)
  5. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Tentang Pengharaman ASB (link)
  6. Ulasan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman Berkenaan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaaan (link)
Sumber Rujukan:
  1. Laporan Kewangan ASB Tahun 2013
  2. Laporan Kewangan ASB Tahun 2012
  3. Senarai Sekuriti Patuh Shariah oleh Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti (Effective: 30 May 2014)


Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

No comments:

Post a Comment