19 November 2014

Belia & Cabaran Kewangan

Gambar hiasan

FAKTA: Hampir 25% daripada 12,381 individu yang telah diisytiharkan muflis dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 2014 adalah belia berumur 34 tahun dan ke bawah. (sumber)

Punca UTAMA belia ini muflis ada tiga:
1. Pinjaman kereta
2. Pinjaman peribadi
3. Kad kredit

Mengapa?

Bukan mudah untuk menjawab soalan ini. Ia melibatkan banyak faktor di sekeliling yang akhirnya menyumbang ke arah tindakan yang memusnahkan masa depan mereka sendiri. Ya, faktor sekelilinglah yang banyak mempengaruhi tindakan mereka.

Pernah suatu ketika, saya telah ditanya, "Kau tak minat ke kerja di investment bank? Gaji masyuk bonus lebat!". Saya menjawab, "I am a family man". Jawapan saya itu dibalas dengan, "Sekarang bolehlah kau kata macam tu, nanti kawan-kawan kau dah pakai kereta besar, kau melopong je la".

Saya juga belia. Saya juga menyimpan minat terhadap kereta-kereta mewah, bahkan saya berangan untuk memiliki sebuah BMW atau Mercedes pada suatu hari nanti. Saya juga ingin memiliki smartphone canggih dan paling terkini seperi iPhone atau Galaxy Note, dan juga tabet seperti iPad atau Note Pro. Saya bukan tidak terliur langsung melihat rakan sebaya yang sudah memiliki kereta Honda, Nissan atau Ford, sedangkan saya hanya memiliki kereta Proton.

Tetapi bukan sekarang.

Isu kemampuan itu satu, tetapi yang lebih besar ialah isu KEUTAMAAN saya sekarang.

Prioriti

Dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang ini, banyak perkara yang perlu diubah. Perubahan ini sangat perlu supaya kita tidak terus menerus menjadi mangsa keadaan. Andai perubahan ini tidak dilakukan, akhirnya yang menjadi mangsa adalah kita.

Perubahan peringkat awal sekali ialah perubahan pandangan terhadap kehidupan.

Ramai belia yang terjebak dengan pandangan materialistik terhadap kehidupan. Materialistik yang saya maksudkan bukanlah terhad kepada "kegilaan" pada harta benda, tetapi materialistik dengan maksud yang lebih luas iaitu menilai setiap sesuatu hanya pada zahirnya semata-mata.

Zahirnya, memandu sebuah kereta Nissan adalah lebih selesa berbanding sebuah kereta proton. Keselesaan tersebut telah mengaburi anda untuk melihat perkara yang lebih utama pada masa sekarang. Anda mungkin mampu untuk memilikinya, tetapi anda perlu ingat, anda memilikinya dengan berhutang.

Zahirnya, memiliki smartphone yang paling canggih dan terkini adalah lebih selesa berbanding memiliki smartphone yang berharga di bawah RM400. Tetapi kecanggihan itu dibayar dengan harga yang tinggi. Keselesaan yang anda mahukan itu perlu dibayar dengan wang simpanan anda atau berhutang kad kredit.

Memiliki keselesaan adalah adalah impian semua orang. Tetapi keselesaan itu ada harganya. Persoalan utama yang perlu ditanya adalah, apakah berbaloi memiliki keselesaan tersebut sekiranya anda terpaksa mengorbankan wang simpanan yang dikumpul berbulan atau bertahun? Atau ada yang sanggup mengambil hutang yang lebih?

Zahirnya, memang anda akan menikmati segala keselesaan yang anda beli. Tetapi disebalik keselesaan itu, ada tanggungan yang besar menanti. Apakah anda bersedia sekiranya anda kehilangan pendapatan secara tiba-tiba?

Mungkin anda rasa itu mustahil terjadi pada diri anda, sebab memang susah manusia ini untuk menghadapi realiti kehidupan. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada mangsa penipuan skim cepat kaya. Pelajarilah daripada mereka.

Nasihat saya kepada yang ingin melakukan sesuatu untuk mendapat kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang ialah ubah cara anda pandang kehidupan anda pada masa sekarang. Korbankan keselesaan sekarang demi kesenangan masa hadapan. Korbankan kereta yang lebih selesa gajet yang lebih canggih supaya anda ada lebihan wang untuk anda simpan dan laburkan. Korbankan makanan yang sedap-sedap di restoran pada waktu sekarang agar pada masa akan datang anda mampu menikmatinya dengan lebih tenang.

Jika anda risau pandangan orang lain terhadap diri anda, fikirlah bahawa yang merasa susah dan senang adalah anda. Mereka hanya berkata-kata apa yang tersirat di hati mereka. Kebiasaannya orang yang banyak bercakap itu dan ini kepada anda, mereka tidak akan menolong anda sewaktu anda susah. Tetapi pada waktu anda senang, seringkali mereka muncul dalam hidup anda.

Berhutang BUKAN ikut kemampuan

Seringkali yang dinasihatkan adalah berhutang ikut kemampuan. Nasihat yang baik, tetapi tidak sesuai untuk belia. Belia harus berhutang di bawah daripada garisan had kemampuan. Jika ikut gaji, ramai yang mampu memiliki kereta Honda City, Ford Fiesta atau Toyota Vios. Tetapi pemilikan kereta ini datang dengan monthly maintenance seperti kos tol, minyak dan servis. Jumlah kos pemilikan kereta seperti ini senang-senang sahaja melebih RM1,000 sebulan.

Fikirlah kembali.

Kemampuan anda berhutang bukan bermakna anda perlu berhutang sebanyak itu. Kemampuan anda berhutang tidak menceritakan nilai sebenar bebanan kewangan yang anda bakal hadapi. Sekiranya anda memilih untuk berhutang, buatlah pilihan dengan bijak. Saya amat sarankan anda hanya berhutang sekadar keperluan yang betul-betul perlu sahaja. Kerana hutang ini, sekiranya tidak diuruskan dengan baik. akhirnya anda mungkin termasuk dalam statistik seperti di atas tadi.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda.
Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

No comments:

Post a Comment