06 August 2014

Anda Mampu...Tetapi Adakah Anda Perlu?

Adakah anda pernah mengenali mana-mana ketua sesebuah negara yang MEMILIH untuk hidup secara serdehana walaupun dia layak menerima bermacam-macam jenis kemudahan?

Jose Mujica, presiden kepada Uruguay, adalah orangnya. Walaupun beliau menerima gaji yang banyak, dan layak untuk menetap di rumah yang dikhaskan untuk seorang ketua negara dan pelbagai lagi faedah, beliau memilih untuk hidup secara low profile. Baca selanjutnya kisah beliau di sini.

Sebenarnya, TREND hidup secara sederhana bagi ketua sesebuah negara telah lama wujud. Ia bukanlah perkara baru. Contoh lampau yang boleh kita ambil ialah bagaimana Nabi Muhammad S.A.W. MEMILIH untuk hidup secara zuhud walaupun Baginda adalah seorang yang kaya. Kekayaan yang Baginda ada bukanlah untuk dirinya, sebaliknya hampir kesemuanya disedeqah dan diinfaqkan. Begitu juga para sahabat Baginda seperti Abu Bakr r.a. dan Umar r.a. Sebab itu kitab seerah banyak mengungkap tentang kezuhudan mereka, berbanding kekayaan yang mereka ada.

Apabila kita mengetahui tentang kehidupan mereka, apa yang dapat kita pelajari?

Mampu, tetapi tidak perlu

Salah satu disiplin dalam pengurusan diri adalah keMAMPUan mengawal diri untuk memiliki sesuatu yang anda MAMPU, dengan melihat kepada keperluannya terlebih dahulu.

Katakan gaji Arman adalah RM5,000 dan beliau belum berumahtangga. Berdasarkan gaji beliau, sebenarnya beliau MAMPU untuk membeli kereta Honda Accord, Mazda 6 dan seumpamanya. Tetapi adakah beliau perlu membelinya?

Beliau masih belum berumahtangga, bekerja dan menetap di sekitar Lembah Klang sahaja. Kereta yang ingin dibeli adalah untuk kegunaan hariannya.

Demi kesenangan hidup masa hadapan, adalah lebih baik beliau TIDAK membelinya. Mengapa?

Kereta bukan aset

Dalam kes ini, kereta bukanlah suatu aset. Kereta adalah salah satu liabiliti yang membebankan kewangan beliau. Makin mahal kereta yang dibeli, makin besar beban kewangan yang perlu ditampung setiap bulan. Dengan membeli kereta semahal itu, kewangan beliau terbeban dengan bayaran bulanan antara RM1,500-RM1,800 sebulan.

Ia merugikan.

Bayangkan sekiranya Arman melabur sebanyak RM1,000 sebulan dalam pelaburan yang mempunyai potensi keuntungan 10% setahun, dalam masa 5 tahun, beliau mungkin memiliki hampir RM80,000. Dalam masa 10 tahun pula, beliau mungkin memiliki lebih daripada RM200,000.

Branded items

Begitu juga dengan barangan eletronik, pakaian, jam tangan, dan lain-lain yang berjenama. Anda mungkin mampu membeli smartphone yang paling canggih serta pakaian yang mahal-mahal, tetapi anda perlu tanya diri anda sejujurya, apakah anda perlu itu semua?

Sekiranya perlu, teruskan. Sekiranya tidak perlu, abaikan. Cari yang lebih memenuhi keperluan.

Cabaran untuk bersederhana

Meneruskan hidup bersederhana adalah sangat mencabar terutamanya bagi mereka yang MAMPU. Mereka boleh MEMILIH untuk hidup betul-betul atas garis keMAMPUan mereka, atau hidup di bawah garis keMAMPUan mereka.

Orang yang memilih untuk hidup betul-betul atas garis kemampuan, mereka akan MEMILIH untuk membeli Honda Accord, hidup di sebuah rumah teres dua tingkat, kerap makan dan minum di kedai dan restoran yang lebih mahal, walaupun kesemua di atas bukanlah keperluan mereka.

Orang yang MEMILIH untuk hidup di bawah garis kemampuan, mereka akan MEMILIH untuk menjalani kehidupan seolah-olah mereka adalah miskin. Membeli kereta cukup untuk keperluan harian, menetap di rumah yang sesuai dengan saiz keluarganya, makan dan minum sesuai dengan keperluannya walaupun bukan di tempat yang mahal.

Urus diri urus wang

Sebab itu pentingnya kita urus diri dan urus wang. Kita urus diri untuk urus expectation kita tentang kehidupan kita i.e. apa yang kita mahukan dalam hidup ini. Kita urus wang untuk memastikan kita lebih selesa pada masa akan datang.

Bak kata pepatah Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Marilah melabur untuk masa depan yang lebih sejahtera.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda.
Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

No comments:

Post a Comment