27 August 2014

Tips Membeli Barangan Keperluan Anak-Anak

Sewaktu belajar di university dahulu, walaupun sudah hidup berdikari, saya tidak begitu ambil kisah tentang harga barangan di pasaraya sewaktu membeli barang keperluan rumah. Yang mana biasanya dibeli, itulah yang dimasukkan ke dalam trolley setiap kali singgah di pasaraya. Kalau ada perubahan pada harga pun, jarang saya ambil kisah.

Keadaan kini sudah berubah.

Selepas mula berumahtangga dan mempunyai anak, saya lebih particular terhadap harga barangan. Mungkin kerana barangan tersebut dibayar dengan duit yang saya cari sendiri. Mungkin juga kerana sifat ingin berjimat cermat seboleh mungkin. Atas apa jua sebabnya, untuk barangan yang kerap saya beli, saya pasti akan ingat harganya. Sekiranya ada perubahan, pasti saya dapat kesan.

Keperluan utama anak-anak saya yang masih kecil adalah lampin pakai buang dan susu.

Tawaran Diskaun Pasaraya Besar

Selepas beberapa ketika membuat pemerhatian, saya dapati pasaraya Malaysia sebenarnya secara bergilir-gilir menawarkan diskaun untuk barangan keperluan anak-anak. Saya tidak pasti adakah ia sesuatu yang dirancang secara bersama antara mereka, atau sebenarnya adalah teknik pemasaran tersendiri yang digunakan oleh mereka bagi menarik pengunjung membeli-belah di pasaraya masing-masing.

Apa jua situasinya, yang penting kita sebagai pelanggan berpeluang untuk mendapatkan barangan keperluan anak-anak pada harga yang jauh lebih jimat daripada biasa. Sebagai contoh, Drypers, yang harga biasanya adalah RM42.90, semasa tawaran, harganya boleh jatuh semurah RM28.90.

Membeli Lebih

Jika dapat harga diskaun sedemikian, saya akaun membeli lebih daripada satu unit.

Walaupun tawaran diskaun yang hampir sama akan dibuat oleh pasaraya besar yang lain pada hujung minggu yang berbeza, adalah lebih mudah dan mungkin menjimatkan sekiranya kita beli beberapa unit terus sebagai simpanan untuk sebulan. Sekiranya anda berkemampuan, anda mungkin mahu menjadikan stok untuk beberapa bulan.

Facebook Page

Dengan kecanggihan teknologi yang ada, juga dengan bantuan facebook, kerja ibubapa kini menjadi semakin mudah. Like sahaja FB page pasaraya besar yang ada, dan tunggu sahaja post dari mereka. Kebiasaannya mereka akan mengemaskini tawaran diskaun untuk hujung minggu pada setiap hari Khamis. Boleh jadi pada waktu tengahari, petang atau malam.

Bagi penduduk di Klang Valley khususnya, kebiasaannya jarak antara rumah dengan pasaraya besar yang ada di sekitar adalah tidak jauh. Bahkan mungkin terdapat lebih daripada satu pasaraya besar yang berdekatan, terutama bagi kawasan yang sudah matang dan penduduknya sangat ramai dan padat.

Saya senaraikan pasaraya besar yang mempunyai FB Page:
1. AEON Malaysia
2. AEON Big
3. Tesco Malaysia
4. Giant

Inilah ruang dan peluang yang ada bagi kita sebagai pengguna. Jadilah pengguna yang bijak.


Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

No comments:

Post a Comment