23 July 2014

Courts Mammoth: Anda tertipu atau terpedaya?

Saya pasti ramai dalam kalangan anda yang pernah membaca isu-isu seputar penipuan Courts Mammoth (CM). Banyak versi cerita yang dibawakan oleh mereka yang 'terkena' dengan CM ni berdasarkan pengalaman masing-masing. Anda hanya perlu Google "Courts Mammoth", result yang keluar pada 1st page adalah berkaitan dengan isu ini.

Marketing Strategy

Pada musim-musim tertentu, kita akan menerima katalog daripada CM yang diedarkan ke kawasan perumahan. Dalam katalog tersebut, terpampang pelbagai jenis barangan pada harga yang tidak masuk akal murahnya......jika kita membeli secara hutang iaitu melalui perkhidmatan FlexiCredit. (Lihat sini)

Inilah salah satu teknik pemasaran yang digunakan oleh CM. Dengan harga murah tersebut, pasti orang akan memberikan perhatian yang lebih. Tambahan pula, pada muka depan katalog. CM akan meletakkan barangan yang kebiasaannya menjadi perhatian orang ramai seperti smartphone, TV, laptop dan sebagainya.

Bila dibelek katalog tersebut, kebiasaannya barang yang akan muncul dulu adalah barang yang tidak begitu ramai orang cari seperti set ruang tamu, set meja makan, set bilik tidur, dan lain-lain. Kebiasaannya barang-barang seperti ini hanya akan dibeli apabila yang ada di rumah sudah hancur. Tetapi CM meletakkannya di mukasurat terawal supaya "tawaran"nya itu dilihat oleh pembaca dengan niat untuk mengiurkan mereka agar membelinya...walaupun tidak diperlukan.

FlexiCredit & Diskaun

1/2 harga! 70% diskaun! Itulah yang biasanya yang ditawarkan. Saya yakin, mereka tidak berani tipu apabila meletakkan tawaran tersebut dalam katalog mereka yang diedarkan kepada orang ramai. Jika mereka tipu, sudah pasti ramai yang akan menyaman CM.

Tawaran tersebut hanya applicable sekiranya anda membeli dengan FlexiCredit mereka. Melalui FlexiCredit, anda boleh membayar secara ansuran bulanan antara 6 hingga 60 bulan. Bayaran secara ansuran ini membuka peluang kepada pelanggan yang tidak mempunyai duit tunai yang cukup untuk membeli barang di CM, atau mereka yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan bayaran ansuran yang ditawarkan oleh kad kredit.

Anda mungkin akan mendapat harga tersebut, tapi ada 'catch' di situ.

Interest Rendah?

Mana-mana perkhidmatan bayaran ansuran hampir semuanya ada charge dalam pelbagai bentuk yang dikenakan. Walau apa jua bentuknya, kebiasaannya kadar charge yang dikenakan adalah dinyatakan dalam bentuk annually.

Tetapi tidak bagi CM. Interest yang dinyatakan dalam katalog adalah dalam bentuk monthly. Sebab itu kita nampak macam murah. CM kata interest adalah serendah 0.5%...rendahnya kan? Cuba kali 12, tengok apa jadinya.

Sekiranya anda ambil tempoh maksimum FlexiCredit, kadar interest yang anda bayar adalah sangat menakjubkan!

Itulah hakikatnya.

Anda tertipu atau terpedaya?

Sebenarnya CM tidak menipu pelanggan pada HARGA yang ditawarkan. (Saya tidak mahu sentuh tentang kualiti barang dan servis di sini). HARGA itu betul, tetapi mereka tidak tunjukkan banyak benda kepada anda. Apa charges lain? Interest kira macam mana? Kalau lewat bayar apa jadi? Semuanya terpulang kepada anda untuk bertanya dengan lebih lanjut.

Jadi tidak hairanlah apabila anda membeli sesuatu barang yang harga asalnya ialah RM1,000 tetapi apabila dicampur semua bayaran bulanan anda termasuk interest dan pelbagai jenis fees yang dikenakan, akhirnya anda membayar RM3,500 dalam masa beberapa tahun.

Apa yang berlaku adalah anda TERPEDAYA dengan tawaran CM. Harga murah, free gifts, dan lain-lain. Bila sudah terpedaya, kita mudah lupa dan alpa. Pekerja CM minta kita sign sana sini. Kita pula terlalu excited, sign sahaja tanpa membaca.

Selang beberapa bulan atau tahun, barulah terasa padahnya.

Perangkap

Itulah perangkap yang ditawarkan oleh CM. Memerangkap mereka yang tidak mampu atau tidak mahu membayar lump sum. Mereka memasangnya dengan penuh persediaan. Sudah ada syarikat collection untuk call sekiranya kita lambat bayar. Sudah ada peguam untuk melakukan tindakan undang-undang sekiranya kita resist.

Akhirnya kita terperangkap. Tiada jalan keluar melainkan kita menyelesaikan semua sekali hutang tersebut secara lump sum. Jika tidak, kesusahan akan jatuh bertimpa-timpa.

Beli yang perlu dan mampu

Nasihat saya kepada pembaca semua, sekiranya anda ingin membeli-belah, beringatlah. Beli hanya yang perlu. Beli sekadar yang mampu. Jika tidak perlu, jangan beli. Jika tidak mampu, kumpul dahulu sehingga mampu.

Urus diri anda sebaiknya, inshaAllah urusan kewangan anda lebih mudah dijaga.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda.
Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

2 comments: