30 July 2014

Bagaimana Bank Menentukan Kelayakan Anda Untuk Berhutang

Apabila anda ingin memohon pembiayaan daripada mana-mana bank, kebiasaannya bank akan meminta slip gaji anda untuk 3 bulan yang terkini beserta beberapa dokumen yang lain. Anda sudah tentu tahu mengapa bank memintanya, tetapi adakah anda tahu bagaimana bank membuat penilaian terhadap kemampuan anda?

Lain bank lain cara penilaiannya, tetapi tidaklah jauh perbezaannya. Saya berikan satu contoh:

(Pengiraan ini adalah berdasarkan slip gaji anda)

Gaji asas, elaun tetap, komisyen dan lain2 pendapatan: RM3,000
EPF dan lain-lain tolakan: RM350

Jadi jumlah pendapatan yang masuk dalam akaun anda: RM2,650

Penilaian sebenar bermula daripada jumlah RM2,650 ini.

Sesetengah bank menetapkan bahawa,

1. Sekiranya anda tidak mempunyai pembiayaan perumahan, jumlah bayaran bulanan maksimum yang anda mampu tanggung adalah 40% daripada gaji bersih anda. Ini bermakna: 40% x RM2,650 = RM1,060. Daripada RM1,060 ini, hutang-hutang anda yang lain (sekiranya ada) akan ditolak terlebih dahulu untuk mendapatkan baki kemampuan anda untuk berhutang.

2. Sekiranya anda mempunyai pembiayaan perumahan pula, jumlah bayaran bulanan maksimum yang anda mampu tanggung ada 70% daripada gaji bersih iaitu RM1,855. Jumlah ini kemudiannya harus ditolak dengan bayaran bulanan untuk pembiayaan perumahan anda serta hutang-hutang yang lain pula sekiranya ada.

Sebagai tambahan kepada pengiraan di atas, ada juga bank yang menetapkan:

A. Sekiranya anda tinggal di Klang Valley, minimum "take-home" amount anda mestilah sekurang-kurangnya RM1,000. Dalam contoh ini, maksimum hutang yang anda boleh ambil ialah RM2,650 - RM1,000 = RM1,650.

Ini bermakna, sekalipun 70% daripada pendapatan anda ialah RM1,855, tetapi dengan adanya syarat tambahan ini, jumlah maksimum semua hutang yang anda boleh ambil ialah RM1,650.

B. Sekiranya anda tinggal di luar Klang Valley, minimum "take-home" amount anda mestilah sekurang-kurangnya RM750.

Pengiraan di atas adalah contoh mudah yang boleh saya berikan. Sudah tentu bagi mereka yang mempunyai pendapatan-pendapatan tetap yang lain (yang boleh dibuktikan melalui dokumen rasmi), pengiraannya adalah sedikit berbeza. Begitu juga bagi mereka yang bekerja sendiri, atau mempunyai perniagaan sendiri.

Selain daripada pendapatan anda, bank juga akan menilai credit history (melalui rekod CCRIS) anda.

1. Sekiranya anda tiada credit history, anda mungkin dinilai sebagai lebih berisiko berbanding mereka yang sudah ada credit history. Ini mungkin menyebabkan kadar bayaran bulanan anda lebih tinggi berbanding orang lain kerana kadar keuntungan (profit rate, atau interest rate bagi bank konvensional) anda lebih tinggi.

2. Sekiranya anda mempunyai credit history, tetapi tidak nampak elok, anda akan dinilai sebagai orang yang berisiko tinggi berbanding mereka yang mempunyai rekod yang baik.Credit history akan dinilai tidak elok sekiranya ada pernah terlewat bayar apa-apa hutang anda dengan mana-mana bank lebih daripada sekali dalam tempoh 12 bulan yang lepas.

Terdapat beberapa faktor lain yang diambil kira, tetapi ianya tidaklah significant berbanding penilaian yang saya berikan di atas.

Keseluruhan penilaian dilakukan dalam satu "credit scoresheet" yang telah disediakan oleh bahagian Risk Management bagi sesebuah bank. Hasil daripada scoresheet inilah bank akan membuat keputusan sama ada anda layak untuk berhutang atau tidak, dan berapa kadar keuntungan yang bersesuaian dengan latar belakang anda.

Sekiranya anda dinilai sebagai orang yang berisiko tinggi tetapi masih layak menerima pembiayaan, bank akan memberikan profit rate yang tinggi kepada anda. Ini bermakna jumlah bayaran bulanan anda akan menjadi lebih tinggi berbanding orang yang dinilai rendah risikonya.

Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda.
Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

No comments:

Post a Comment