28 May 2014

Skim Cepat Kaya

Skim cepat kaya secara difinisinya adalah
Satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko. (Bank Negara Malaysia)
Kata kuncinya adalah "pulangan tidak realistik" dan "pelaburan tiada risiko".

Adakah pelaburan yang memberikan 100% pulangan itu tidak realistik? Tidak semestinya.
Adakah pelaburan yang memberikan pulangan 50% dalam tempoh satu bulan itu tidak realistik? Tidak semestinya juga.

Jadi, bagaimana yang dimaksudkan dengan pulangan tidak realistik? Kita perlu memahami kata kunci yang kedua iaitu "pelaburan tiada risiko".

Apakah ada jenis pelaburan yang tiada risiko? Ada. Contohnya pelaburan di bank seperti General Investment Account atau Special Investment Account. Pelaburan seperti ini menjanjikan pulangan tanpa kita perlu risau risiko kehilangan modal pelaburan kita - inilah pelaburan yang tiada risiko. Pulangannya macam mana? Anda boleh semak sendiri di website bank-bank, secara puratanya mereka memberikan pulangan antara 2-4% sahaja dalam setahun.

Ya, pelaburan tiada risiko memberikan pulangan yang rendah. Pelaburan yang memberikan pulangan yang tinggi adalah pelaburan yang berisiko tinggi - risiko anda kehilangan sebahagian atau kesemua modal pelaburan anda adalah tinggi. Anda melabur RM10,000, sebulan akan datang boleh jadi anda menjana RM2,500, boleh jadi juga anda kehilangan RM2,500 daripada wang pelaburan anda.

Kenapa mereka menggunakan kata kunci "pulangan tidak realistik" dan "pelaburan tiada risiko"?

Kerana rata-rata manusia tidak bersedia untuk kehilangan wang simpanan untuk melabur bagi menjana pulangan yang lebih tinggi. Jadi pendekatan skim-skim cepat kaya untuk melegakan keresahan bakal pelabur mereka adalah dengan menyatakan pelaburan mereka tiada risiko.

Dalam masa yang sama, orang ramai sangat ingin menjadi kaya TANPA perlu bersusah payah. Jadi, mereka menjanjikan pulangan yang membuatkan orang terliur dan merasakan tersangat rugi sekiranya tidak menyertainya.

Jadi dengan menawarkan "pelaburan tiada risiko" dan "pulangan tidak realistik" ini mereka akan memperdaya orang ramai yang ingin menjadi kaya tanpa perlu bersusah payah dan risau akan kehilangan modal pelaburan.

Modul operandinya hampir sama bagi skim-skim cepat kaya ini. Pada peringkat awal, mereka benar-benar memberikan pulangan seperti yang dijanjikan. Selepas makin ramai orang menyertainya, mereka akan mula melewatkan pembayaran pulangan kepada pelabur, dan seterusnya lesap.

Banyak cara yang digunakan oleh mereka untuk meyakinkan bakal pelabur. Boleh baca di sini.

Oleh yang demikian, sekiranya anda ditawarkan dengan sesuatu jenis pelaburan, cara yang terbaik adalah anda bertanya dengan mereka yang lebih arif sebelum anda melabur.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda.
Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

No comments:

Post a Comment