17 September 2014

Kad Kredit: Bagaimana Ia Boleh Memberi Manfaat Kepada Anda (Bahagian 2)

Baca Bahagian 1

Diskaun

Sekiranya anda melawati mana-mana website bank yang menawarkan kad kredit, hampir pasti website tersebut turut mengiklankan diskaun yang ditawarkan kepada pelanggan kad kredit. Diskaun ini antara manfaat yang boleh dinikmati secara terus sekiranya pelanggan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Kebiasaan syaratnya antaranya adalah pelanggan harus berbelanja minimum ringgit, atau berbelanja pada hari-hari yang telah ditetapkan, atau membeli kuantiti pertama sesuatu produk dan boleh membeli produk yang sama untuk kuantiti yang kedua pada harga diskaun.

Terdapat pelbagai tawaran diskaun yang sering diiklankan oleh bank. Antaranya adalah penginapan atau buffet di hotel-hotel terkemuka, restoran-restoran, kedai-kedai perabot, elektrik dan elektronik, salon dan spa. Pelanggan berpeluang menikmati tawaran diskaun ini apabila pembayaran dibuat menggunakan kad kredit bank yang menawarkan diskaun tersebut.

Pun begitu, kadang-kadang tawaran diskaun ini ada catch-nya. Salah satu yang sering kali saya temui adalah tawaran diskaun itu hanya untuk produk yang dijual pada harga normal sahaja. Sekiranya produk itu dipakejkan, atau dipromosikan pada harga yang lebih rendah pada waktu-waktu tertentu, maka tawaran diskaun ini tidak boleh digunakan.

Akses Pada Tunai Semasa Kecemasan

Salah satu perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna kad kredit ialah pengeluaran tunai. Pengeluaran tunai ini konsepnya lebih kurang sama dengan pembiayaan peribadi yang boleh dibuat di bank.

Apabila pengeluaran tunai di buat, jumlah tunai yang dikeluarkan tersebut akan direkod sebagai hutang tambahan yang perlu pelanggan langsaikan. Setiap pengeluaran tunai yang dilakukan akan dikenakan caj tertentu. Caj ini telah ditentukan oleh pihak bank dan ada dinyatakan dalam manual yang diberikan semasa anda menerima kad kredit anda buat pertama kali.

Jumlah tunai yang boleh dikeluarkan adalah terhad. Had yang ditetapkan adalah bergantung kepada pihak bank. Setakat ini saya belum pernah jumpa bank yang menawarkan pengeluaran tunai sehingga 100% daripada had kad kredit. Maksudnya, sekiranya had kad kredit anda ialah RM10,000, tidak ada bank yang saya temui yang membenarkan para pelanggannya mengeluarkan tunai pada jumlah RM10,000 tersebut.

Akses pada tunai ini bermanfaat sekiranya berlaku kecemasan dan pelanggan terpaksa membayar sesuatu dan bayaran hanya boleh dibuat dengan tunai sahaja. Kejadian ini boleh terjadi di mana-mana jua pada bila-bila masa kerana di Malaysia, masih banyak lagi tempat yang tidak menerima pembayaran secara kad kredit.

Kemudahan Dan Keselamatan Semasa Bermusafir di Luar Negara

Bagi yang sering bermusafir jauh, mereka akan terasa keperluan yang sangat mendesak untuk mengambil kad kredit atas beberapa faktor, antaranya keselamatan.

Berada di luar negara memerlukan kita untuk lebih berhati-hati kerana kita tidak mengenali secara mendalam suasana masyarakat di situ. Kita mungkin dengar pelbagai cerita indah tentang sesuatu negara, tetapi banyak hakikat tersembunyi yang tidak diketahui.

Sekiranya kita membawa tunai dengan banyak ketika berada di luar negara, kita berpotensi untuk kehilangan arah tuju sekiranya berlaku kecurian pada kita. Tunai yang hilang memang tidak boleh dicari semula. Berbeza dengan kad kredit. Sekiranya berlaku kecurian, apa yang perlu dibuat adalah hubungi bank kad kredit tersebut secepat mungkin. Bila pulang rumah, call sahaja bank untuk menghantar kad yang baru.

Walaupun penggunaan kad kredit di luar negara adalah lebih berkos berbanding menggunakan tunai, tetapi kos yang ditanggung itu berbaloi dengan risiko yang kita hadapi di sana.

Kesimpulannya

Mahu pakai atau tidak, itu terpulang kepada anda. Ia membawa manfaat sekiranya anda mampu berdisiplin, ia juga membawa mudharat sekiranya anda tidak mampu mengawal diri. Tiada paksaan untuk anda menggunakannya bagi yang belum, mahu pun meninggalkannya bagi yang sedang menggunakannya.

Tujuan saya hanya untuk membentangkan manfaat yang kita boleh ambil darinya.


Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

No comments:

Post a Comment