02 January 2016

5 Tips Selamat Untuk Membeli Kereta

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kereta adalah suatu keperluan bagi kebanyakan orang baik yang tinggal di dalam mahupun di luar bandar. Kereta kebiasaannya adalah perbelanjaan kedua terbesar selepas rumah. Seperti mana ramai orang menjadi sangat berhati-hati ketika memilih rumah, kita juga perlu berhati-hati ketika ingin memilih kereta yang sesuai untuk kita.

Sekiranya anda mahu membeli kereta pertama atau sedang berkira-kira untuk menukar kereta baru, saya kongsikan beberapa perkara yang perlu anda fikirkan:

1. Kos Pembiayaan

Saya sarankan agar kos pembiayaan untuk kereta anda tidak melebihi 10% daripada pendapatan kasar anda. Contohnya, sekiranya pendapatan kasar anda adalah sekitar RM3,000 sebulan, jumlah maksimum kos pembiayaan untuk kereta anda adalah RM300. Sekiranya pendapatan kasar anda adalah RM4,000 sebulan, maka RM400 adalah maksimumnya.

Anda akan faham kenapa saya sarankan hanya 10% selepas anda membaca sehingga habis artikel ini.

2. Kos Minyak dan Tol

Kos minyak dan tol sangat bergantung kepada jenis kereta yang anda beli, jalan mana yang anda biasa lalui, dan sejauh mana anda berjalan setiap hari, minggu dan bulan.

Sekiranya anda menggunakan kereta untuk ulang-alik ke tempat kerja, jumlah minimum RM300 sebulan untuk kos minyak dan tol adalah fair bagi kebanyakan kita. Sudah pasti ada yang lebih daripada tersebut.

3. Kos Pembaikan (Maintenance)

Kos maintenance bagi kereta Proton, Perodua, Toyota, Honda dan seumpamanya tidaklah tinggi berbanding kereta seperti BMW dan Mercedes. Rata-ratanya kadar yang dikenakan adalah RM200-RM300 untuk setiap servis asas dan mungkin naik setinggi RM500-RM700 bagi servis yang lebih komprehensif.

Saya anggarkan kos maintenance dalam setahun untuk kereta sekitar RM1,500 atau RM125 sebulan.


4. Kos Takaful Kereta dan Road Tax

Kos takaful dan road tax sangat bergantung kepada jenis dan harga kereta. Sekiranya anda tidak pernah membuat tuntutan, anda layak untuk mendapat NCD atau No Claim Discount. NCD akan bertambah setiap tahun sekiranya tiada apa-apa tuntutan yang dibuat dalam tempoh tersebut. Jumlah maksimum NCD yang akan diberikan adalah 55%. NCD sangat membantu untuk mengurangkan jumlah sumbangan atau premium untuk takaful.

Bagi kereta baru, rata-rata kos premium adalah pada minimum RM1,000. Lebih mahal harga kereta tersebut, lebih tinggi premium-nya. Kereta second-hand adalah lebih murah premium-nya kereta harganya sudah banyak jatuh.

Bagi road tax, kosnya adalah tetap setiap tahun dan ianya bergantung kepada CC kereta, sama ada kereta tempatan atau import, serta sama ada kereta tersebut dimiliki oleh individu atau syarikat.

5. Kos Tukar Tayar

Kos tayar bergantung kepada saiz, jenis dan jenama tayar. Semakin besar size tayar, semakin mahal harganya. Tayar mempunya pelbagai jenis. Jenis tayar ini ditunjukkan melalui kod yang terdapat pada tayar tersebut. Jenama seperti Intercontinental adalah antara jenama yang murah dan berkualiti. Manakala jenama Goodyear adalah tergolong dalam jenama yang lebih mahal. Sudah tentu anda mempunyai pilihan untuk memilih saiz (setiap kereta ada minimum dan maksimum saiz yang boleh digunakan), jenis dan jenama.

Anda boleh mengharapkan agar tayar anda tidak pancit dibocorkan oleh paku atau benda-benda tajam dijalanan, tetapi setiap tayar mempunyai tempoh maksima. Ada yang 50,000 km, ada yang 60,000 km dan seterusnya, bergantung kepada kualiti tayar tersebut. Saya anggarkan, setiap 2 tahun anda mungkin perlu menukar keempat-empat tayar tersebut sekiranya anda berjalan sejauh 25,000 - 30,000 km setahun.

Kesimpulan

Jika anda fikir kos memiliki kereta ini hanyalah pada kos pembiayaan daripada bank, elok anda fikirkannya sekali lagi. Ada pelbagai lagi kos yang tidak saya sertakan seperti kos overhaul (sekiranya anda tersangkut dalam banjir) atau ketuk dan cat semula (sekiranya ada terlibat dalam kemalangan).

Apa yang saya boleh jamin ialah kos untuk memiliki kereta ini tidak murah. Sebab itu saya sarankan agar kos pembiayaan kereta ana terhadkan hanya kepada 10% daripada pendapatan kasar anda agar anda tidak "lemas" dengan kos-kos lain yang datang sekali dengan pemilikan kereta tersebut.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

18 March 2015

Pelaburan Yang Dijamin Patuh Syariah

Sekiranya anda bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan pelaburan yang patuh syariah atau Syariah-Compliant? Kebiasaan jawapan yang anda terima ialah pelaburan tersebut tidak meletakkan dana dalam perkara-pekara yang diharamkan syarak.

Jawapan ini betul, tapi masih kurang tepat.

Definasi yang lebih luas

Definasi pelaburan yang patuh syarak adalah lebih luas daripada itu. Ya, di mana dana diletakkan adalah perkara pertama dan utama, tapi bukan satu-satunya perkara yang perlu dilihat. Perkara seterusnya yang perlu dilihat ialah di mana dana yang ada disimpan dan bagaimana dana tersebut diuruskan sebelum ia dilaburkan.

Contohnya, syarikat A menguruskan dana sebanyak RM100juta. Sebanyak RM90juta telah dilaburkan di tempat yang dijamin patuh syariah.

  1. Adakah RM10juta lebihan itu disimpan dalam akaun bank yang patuh syariah atau konvensional?
  2. Sekiranya syarikat tersebut ada mengambil financing dengan mana-mana bank, adakah financing tersebut patuh syariah atau tidak?
  3. Apakah pelaburan RM90juta itu diuruskan secara patuh syariah i.e. apakah jelas pembahagian keuntungannya? Apakah jelas tanggungan kerugiannya? Atau dalam erti kata yang lain, apakah jelas kontrak perjanjian antara pemberi dan penerima modal, tanpa sebarang hidden agenda?

Melalui contoh di atas, sememangnya penentuan patuh syariah atau tidak itu bukanlah terletak hanya pada jenis perniagaan yang dilakukan sahaja. Bahkan pengurusan aliran tunai itu perlu jelas menuruti syarak.

Pelaburan patuh syariah

Di Malaysia, terdapat banyak pilihan pelaburan patuh syariah. Antaranya:

  1. Islamic Unit Trusts
  2. Kaunter-kaunter patuh syariah di Bursa Malaysia.
  3. Pelaburan AHB (Amanah Hartanah Bumiputera)
  4. Islamic Investment Accounts di Bank
  5. Islamic Bond dan Sukuk
Unit Trust atau Unit Amanah mempunyai dua jenis, yang patuh syariah dan tidak patuh syariah. Pekara yang menjadikan sesuatu unit trust ini patuh syariah atau tidak adalah bergantung kepada di mana dana yang terkumpul itu dilaburkan. Sekiranya ia dilaburkan pada instrumen pelaburan yang patuh syariah, maka patuh syariah-lah unit trust itu. Sekiranya tidak, maka ia adalah tidak patuh syariah.

Syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia juga terhagagi kepada 2 jenis, yang patuh syariah dan tidak patuh syariah. Syarikat yang patuh syariah ini adalah syarikat yang memenuhi minimum kriteria patuh syariah yang digariskan oleh Panel Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Senarai syarikat yang patuh syariah ini dikemaskini sebanyak 2 kali setahun dan dikeluarkan pada setiap hujung May dan November. Anda boleh semak di sini untuk mendapatkan senarai yang terkini.

Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) boleh dikategorikan sebagai adik-beradik Unit Trust kerana konsepnya adalah hampir sama. Perbezaannya adalah harga setiap unit AHB ini adalah tetap, iaitu RM1/unit manakala harga Unit Trust fluctuate atau berubah-ubah.

Islamic Investment Accounts ditawarkan oleh banyak bank dengan pelbagai jenis nama. Antara nama yang biasa digunakan ialah General Investment Account-i, Special Investment Account-i dan  Structured Investment Account-i. Terdapat juga investment account seperti Dual-Currency Investment Account-i yang ditawarkan bagi mereka yang berminat dengan matawang selain daripada RM. Secara umumnya, islamic investment account ini memberi peluang kepada mereka yang ingin meletakkan duit ditempat yang dapat memberikan pulangan dalam tempoh masa yang pendek.

Islamic Bon atau Sukuk adalah perkara baru bagi pemodal individu kerana kebiasaannya instrumen ini hanya ditawarkan kepada pemodal besar seperti KWSP, KWAP atau mana-mana institusi yang mempunyai dana yang sangat besar. Nilai Suku ini kebiasaannya dalam jumlah yang sangat besar iaitu melebihi RM100juta. PETRONAS sebagai contoh menawarkan sukuk berjumlah RM2bil kepada mana-mana institusi yang berminat untuk subscribe. Bagi pemodal individu, maklumat lanjut boleh diperolehi di sini.

Peluang pelaburan yang lain

Di atas ini hanyalah SEDIKIT contoh peluang yang patuh syariah. Di luar sana terdapat pelbagai lagi peluang pelaburan yang patuh syariah yang diusahakan secara private. Koperasi-koperasi contohnya, banyak membuka ruang kepada individu-individu untuk melaburkan duit yang ada bagi mendapatkan pulangan yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh bank.

Apa yang perlu kita lakukan ialah untuk explore peluang-peluang yang ada. Lebih banyak kita explore lebih banyaklah kita akan belajar, maka lebih banyak peluang akan diketahui.

Tetapi segala peluang yang ada tidak akan bermakna selagi kita tidak bertindak.




Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

26 December 2014

Lebih Takut Termakan Babi, Tetapi TIDAK Takut Diperangi Dan Sangat Berani Mati

Masih ingat lagi isu coklat Cadbury yang dikatakan mengandungi DNA babi? Walaupun akhirnya didapati bahawa sample yang diambil itu sahaja yang tercemar dengan DNA babi, dan JAKIM telah menjamin bahawa semua produk Cadbury yang berada di Malaysia disahkan halal, tetapi masih ramai umat Islam yang takut-takut untuk membeli produk Cadbury...sehinggalah hari ini.

Mengapa?

Baru-baru ini heboh pula tentang satu video yang disampaikan oleh seorang Sheikh dari luar negara berkenaan status perbankan Islam yang dikatakan sebagai back door riba. Lantas video tersebut menjadi sangat viral di media sosial dan begitu ramai umat Islam dengan pantas bersetuju dengan pandangan Sheikh tersebut.

Sebenarnya sebelum video itu menjadi viral, ramai sudah umat Islam di Malaysia ini menganggap perbankan Islam tiada bezanya dengan perbankan Konvensional.

Mengapa?

Saya tertanya-tanya mengapa dalam isu makanan, umat Islam begitu sensitif dalam menentukan halal dan haram sesuatu makanan sehinggakan barang yang telah disahkan halal oleh JAKIM sendiri pun masih ramai lagi yang takut-takut untuk membelinya. Dalam isu Cadbury itu, baru DNA babi sahaja yang dijumpai dalam sample, itu hanya DNA (betapa kecilnya DNA tu...) DALAM satu SAMPLE (perlukan banyak sample sebelum dapat buktikan bahawa Cadbury benar-benar mengandungi elemen babi).

Dalam contoh yang lain pula, berapa ramai yang tidak mahu makan di kedai yang tiada logo halal sedangkan pihak kedai telah memaklumkan bahawa sumber bahan mentah yang diambil adalah halal kesemuanya?

Mengapa dari satu sudut, umat Islam tidak percaya kepada pihak autoriti, tetapi dalam sudut lain, umat Islam sangat-sangat menantikan pihak autoriti untuk mengeluarkan kenyataan?

Mengapa?

Saya tertanya-tanya mengapa dalam isu kewangan, umat Islam seolah-olah hilang sensitiviti terhadap riba' dan masih lagi subscribe  kepada loan, saving/current account atau kad kredit yang ditawarkan oleh bank-bank konvensional, walaupun telah jelas difatwakan HARAM?

Mengapa tidak mahu mengambil pandangan ulama' tentang keHARUSan perbankan Islam?

Tak kurang juga mereka yang melibatkan diri dalam program-program emas yang pelbagai tanpa menyemak dengan mereka yang berautoriti dalam bidang fiqh muamalat, dan masih membeli atau melabur dalam program-program tersebut walaupun mahoriti ulama' menjelaskan bahawa ianya HARAM? Padahal dalam isu ASB, mereka berpegang pula pada kata-kata pihak yang berautoriti?

Mengapa apabila pihak berautoriti berkata ASB itu harus, lantas ramai yang berpegang kepadanya, tetapi dalam masa yang sama, apabila pigak berautoriti yang sama menjelaskan HARAMnya pelbagai pelaburan dan program emas, ramai yang tidak ambil peduli?

Dari satu sudut yang lain, mengapa berpegang kepada keharusan perbankan Islam dan menolak keHARAMan pelbagai program emas?

Mengapa?

Dan akhir sekali, mengapa begitu sensitif tentang DNA babi, tetapi tidak sensitif dengan rokok yang seringkali singgah ke bibir, yang asapnya masuk ke kerongkong dan secara perlahan-lahan membinasakan organ-organ dalaman yang dipinjam daripada ALLAH itu? Mengapa tidak sensitif dengan statistik kematian orang yang tidak merokok tetapi mati disebabkan asap rokok yang terPAKSA dihidu kerana ramai perokok yang tidak ret-reti yang menghormati orang yang tidak merokok?

Apakah kita ummat yang LEBIH takut termakan babi, tetapi tidak takut diperangi oleh ALLAH, dan golongan yang tersangat berani mati?



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

03 December 2014

Cukupkah Bekalan Hari Tua Anda?

Berkuatkusa 1 Januari 2014, simpanan asas bagi Akaun 1 KWSP telah dinaikkan. Bagi mereka yang sudah menghampir umur persaraaan (yang lama) iaitu 55 tahun, simpanan asasnya adalah RM196,800. Ini adalah bertujuan memastikan mereka yang akan bersara mempunyai sekurang-kurangnya RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas itu (sehingga umur 75 tahun - jangka hayat rakyat Malaysia).

RM820 sebulan

Cukupkah untuk hidup RM820 sebulan?

Sekiranya anda tidak ke mana-mana selain surau dan warung kopi berdekatan dengan rumah anda, dan anda hanya hidup bersama-sama isteri anda dan tidak memerlukan belanja yang banyak untuk makanan dan lain-lain, serta anda tiada apa-apa masalah kesihatan, inshaAllah jumlah ini cukup.

Tetapi, sekiranya anda perlu atau mahu bergerak ke sana sini menggunakan kereta, dan mempunyai anak yang masih belajar dan memerlukan wang anda untuk menampung perbelanjaan harian, dan anak-anak anda yang lain masih tinggal bersama-sama dengan anda walaupun mereka sudah berkeluarga, jumlah ini memang tidak cukup.

Kenapa perlu bersedia sedangkan kita tidak tahu bila mati menjelma?

Sebab kita tidak tahu bila mati datang kepada kitalah kita perlu bersedia.

Jika anda meninggal awal, maka wang simpanan anda akan dapat diwariskan kepada ahli keluarga anda. Sekurang-kurangnya, apabila anda, sebagai sumber kewangan utama dalam keluarga, meninggal dunia, keluarga anda masih mempunyai wang yang anda tinggalkan untuk meneruskan kehidupan mereka.

Jika anda meninggal lambat, maka wang simpanan anda akan dapat digunakan dalam meneruskan saki-baki hidup anda.

Mula menyimpan pada umur 40?

Hakikatnya, ramai yang mula menyimpan pada ketika umurnya mendekati 40 tahun. Hanya ada 20 tahun sahaja untuk melakukan persediaan. Rata-rata mereka yang bekerja makan gaji adalah mangsa yang paling utama untuk krisis sebegini.

20 tahun tu rasa macam lama.

Memang lama sekiranya anda mampu menyimpan lebih RM2,000 setiap bulan. Sekiranya jumlah itu anda tidak yakin untuk capai, tidak kira berapa umur anda sekarang, anda harus mula menyimpan.

Private Retirement Scheme (PRS)

Sebagai membantu rakyat Malaysia membuat persediaan ke arah persaraan yang selesa, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Skim Persaraan Swasta (PRS) yang mempunyai framework yang sama seperti KWSP, tetapi ia bersifat sukarela.

Tambahan pula, demi menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan melalui PRS ini, kerajaan memberikan insentif pengecualian cukai sebanyak RM3,000 setahun selama 10 tahun sehingga 2021. Majikan yang melakukan contribution tambahan untuk PRS kepada pekerja juga turut menerima insentif pengecualian cukai.

PRS berfungsi sama seperti Unit Trust yang lain. Anda meletakkan wang anda dalam suatu tabung yang mana wang dalam tabung tersebut akan dilaburkan pada pelaburan-pelaburan seperti yang telah ditetapkan dalam prospektus PRS tersebut.

Bezanya, anda tidak boleh mengeluarkan wang sesuka hati daripada PRS. Pengeluaran hanya boleh dilakukan setahun sekali dan setiap pengeluaran akan dikenakan cukai sebanyak 8%. Ini semua adalah untuk discourage anda daripada mengeluarkan wang simpanan sesuka hati. Sama seperti KWSP.

Asset under management (AUM) bagi PRS kini sudah mencecah RM500 mil dan keahliannya sudah melebihi 100,000 orang. Suatu pencapaian yang menakjubkan sejak PRS mula diperkenalkan pada tahun 2012. 25% daripada keahliannya terdiri daripada mereka yang berumur 20-30 tahun. Suatu yang positif dan sihat demi membina generasi muda yang lebih bersedia financially.

Berapa jumlah yang anda perlukan untuk persaraan nanti?

Ia adalah suatu persoalan yang anda sendiri perlu jawab. Sekiranya anda sekarang berumur 30 tahun dan menjangkakan anda memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan (menurut nilaian hari ini) sepanjang 15 tahun selepas anda bersara pada umur 60 tahun nanti, anda memerlukan lebih kurang RM1.8 mil pada umur 60. Sekiranya anda mula menyimpan sekarang, jumlah simpanan tahunan anda perlu mencapai sekurang-kurang RM10,000 atau RM834 sebulan.

Lebih lewat anda mula, lebih banyak yang anda perlukan untuk dikumpul setiap tahun.



P/s: Sekiranya anda memerlukan khidmat nasihat untuk membantu anda bersedia ke arah hari tua anda, sila pergi ke sini dan isikan maklumat anda pada borang yang disediakan.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

19 November 2014

Belia & Cabaran Kewangan

Gambar hiasan

FAKTA: Hampir 25% daripada 12,381 individu yang telah diisytiharkan muflis dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 2014 adalah belia berumur 34 tahun dan ke bawah. (sumber)

Punca UTAMA belia ini muflis ada tiga:
1. Pinjaman kereta
2. Pinjaman peribadi
3. Kad kredit

Mengapa?

Bukan mudah untuk menjawab soalan ini. Ia melibatkan banyak faktor di sekeliling yang akhirnya menyumbang ke arah tindakan yang memusnahkan masa depan mereka sendiri. Ya, faktor sekelilinglah yang banyak mempengaruhi tindakan mereka.

Pernah suatu ketika, saya telah ditanya, "Kau tak minat ke kerja di investment bank? Gaji masyuk bonus lebat!". Saya menjawab, "I am a family man". Jawapan saya itu dibalas dengan, "Sekarang bolehlah kau kata macam tu, nanti kawan-kawan kau dah pakai kereta besar, kau melopong je la".

Saya juga belia. Saya juga menyimpan minat terhadap kereta-kereta mewah, bahkan saya berangan untuk memiliki sebuah BMW atau Mercedes pada suatu hari nanti. Saya juga ingin memiliki smartphone canggih dan paling terkini seperi iPhone atau Galaxy Note, dan juga tabet seperti iPad atau Note Pro. Saya bukan tidak terliur langsung melihat rakan sebaya yang sudah memiliki kereta Honda, Nissan atau Ford, sedangkan saya hanya memiliki kereta Proton.

Tetapi bukan sekarang.

Isu kemampuan itu satu, tetapi yang lebih besar ialah isu KEUTAMAAN saya sekarang.

Prioriti

Dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang ini, banyak perkara yang perlu diubah. Perubahan ini sangat perlu supaya kita tidak terus menerus menjadi mangsa keadaan. Andai perubahan ini tidak dilakukan, akhirnya yang menjadi mangsa adalah kita.

Perubahan peringkat awal sekali ialah perubahan pandangan terhadap kehidupan.

Ramai belia yang terjebak dengan pandangan materialistik terhadap kehidupan. Materialistik yang saya maksudkan bukanlah terhad kepada "kegilaan" pada harta benda, tetapi materialistik dengan maksud yang lebih luas iaitu menilai setiap sesuatu hanya pada zahirnya semata-mata.

Zahirnya, memandu sebuah kereta Nissan adalah lebih selesa berbanding sebuah kereta proton. Keselesaan tersebut telah mengaburi anda untuk melihat perkara yang lebih utama pada masa sekarang. Anda mungkin mampu untuk memilikinya, tetapi anda perlu ingat, anda memilikinya dengan berhutang.

Zahirnya, memiliki smartphone yang paling canggih dan terkini adalah lebih selesa berbanding memiliki smartphone yang berharga di bawah RM400. Tetapi kecanggihan itu dibayar dengan harga yang tinggi. Keselesaan yang anda mahukan itu perlu dibayar dengan wang simpanan anda atau berhutang kad kredit.

Memiliki keselesaan adalah adalah impian semua orang. Tetapi keselesaan itu ada harganya. Persoalan utama yang perlu ditanya adalah, apakah berbaloi memiliki keselesaan tersebut sekiranya anda terpaksa mengorbankan wang simpanan yang dikumpul berbulan atau bertahun? Atau ada yang sanggup mengambil hutang yang lebih?

Zahirnya, memang anda akan menikmati segala keselesaan yang anda beli. Tetapi disebalik keselesaan itu, ada tanggungan yang besar menanti. Apakah anda bersedia sekiranya anda kehilangan pendapatan secara tiba-tiba?

Mungkin anda rasa itu mustahil terjadi pada diri anda, sebab memang susah manusia ini untuk menghadapi realiti kehidupan. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada mangsa penipuan skim cepat kaya. Pelajarilah daripada mereka.

Nasihat saya kepada yang ingin melakukan sesuatu untuk mendapat kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang ialah ubah cara anda pandang kehidupan anda pada masa sekarang. Korbankan keselesaan sekarang demi kesenangan masa hadapan. Korbankan kereta yang lebih selesa gajet yang lebih canggih supaya anda ada lebihan wang untuk anda simpan dan laburkan. Korbankan makanan yang sedap-sedap di restoran pada waktu sekarang agar pada masa akan datang anda mampu menikmatinya dengan lebih tenang.

Jika anda risau pandangan orang lain terhadap diri anda, fikirlah bahawa yang merasa susah dan senang adalah anda. Mereka hanya berkata-kata apa yang tersirat di hati mereka. Kebiasaannya orang yang banyak bercakap itu dan ini kepada anda, mereka tidak akan menolong anda sewaktu anda susah. Tetapi pada waktu anda senang, seringkali mereka muncul dalam hidup anda.

Berhutang BUKAN ikut kemampuan

Seringkali yang dinasihatkan adalah berhutang ikut kemampuan. Nasihat yang baik, tetapi tidak sesuai untuk belia. Belia harus berhutang di bawah daripada garisan had kemampuan. Jika ikut gaji, ramai yang mampu memiliki kereta Honda City, Ford Fiesta atau Toyota Vios. Tetapi pemilikan kereta ini datang dengan monthly maintenance seperti kos tol, minyak dan servis. Jumlah kos pemilikan kereta seperti ini senang-senang sahaja melebih RM1,000 sebulan.

Fikirlah kembali.

Kemampuan anda berhutang bukan bermakna anda perlu berhutang sebanyak itu. Kemampuan anda berhutang tidak menceritakan nilai sebenar bebanan kewangan yang anda bakal hadapi. Sekiranya anda memilih untuk berhutang, buatlah pilihan dengan bijak. Saya amat sarankan anda hanya berhutang sekadar keperluan yang betul-betul perlu sahaja. Kerana hutang ini, sekiranya tidak diuruskan dengan baik. akhirnya anda mungkin termasuk dalam statistik seperti di atas tadi.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda.
Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

05 November 2014

Perkara Wajib Tahu Sebelum Melabur (Bhgn 2)

Baca Bahagian 1

#1 dan #2 adalah penting untuk anda tahu terutamanya bagi mengelakkan diri anda ditipu oleh penipu-penipu yang sangat licik. Walau sehebat mana pun tawarannya, jika anda ingin wang dan (mungkin) masa depan anda selamat, anda perlu ambil langkah tersebut.

Untuk point berikutnya, ia adalah penting supaya anda faham pelaburan apa yang terbaik untuk anda.

#3 - Apa yang anda ingin capai dengan pelaburan anda

Ramai yang mungkin menganggap apa-apa jenis pelaburan pun sesuai untuk mencapai objektif pelaburan mereka. Sebenarnya TIDAK. Apa yang anda ingin capai daripada pelaburan anda PENTING kerana ia akan menentukan tempoh dan jenis pelaburan yang sesuai.

Tiada satu pon jenis pelaburan yang sesuai untuk semua objektif dan orang. Pelaburan bukan suatu perkara yang "one size fits all". Setiap pelaburan adalah tailored-made supaya ia sesuai untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

Sekiranya anda ingin melabur untuk kegunaan hari tua, anda sebenarnya bercakap tentang suatu pelaburan jangka (sangat) panjang, sekiranya anda berumur bawah 35 tahun. Dengan tempoh masa yang lama ini, anda perlukan suatu pelaburan yang dapat memberikan sustainable return. Dengan tempoh tersebut juga, ia membantu anda untuk menentukan berapa jumlah pendapatan yang anda perlu ketepikan supaya anda ada jumlah yang cukup untuk hidup semasa hari tua anda tanpa anda perlu bekerja.

Sekiranya anda tidak pasti jenis pelaburan apa yang sesuai dengan objektif yang anda ingin capai, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan pihak yang pakar.

#4 - Adakah anda risk-tolerance atau risk-averse

Seorang yang mempunyai sifat risk-tolerance bermaksud seorang yang sanggup mengambil risiko, walaupun risiko itu tinggi. Risiko yang tinggi bermaksud kemungkinan untuk berlaku kerugian adalah tinggi, dalam masa yang sama, pulangan yang MUNGKIN diperolehi juga lebih tinggi - high risk high return. Seorang yang bersifat risk-averse adalah sebaliknya.

Setiap orang mempunyai risk appetite yang berbeza. Seorang ahli perniagaan kebiasaannya adalah seorang yang berani mengambil risiko kerana dia berani melaburkan duit yang banyak dalam keadaan dia belum tentu mendapat pualangan yang tinggi atau sebaliknya. Seorang yang melabur dalam money market SAHAJA kebiasaannya adalah seorang yang kurang berani mengambil risiko kerana risiko kerugian adalah terlalu rendah.

Anda perlu mengenali sama ada diri anda adalah seorang risk-tolerance atau  risk-averse kerana ia akan membantu untuk menentukan jenis pelaburan yang sesuai dengan anda.

Apakah seorang yang risk-averse boleh bertukar menjadi risk-tolerance dan sebaliknya? BOLEH.

Kebiasaannya proses penukaran ini melibatkan elemen luar yang boleh mengubah keyakinan seseorang terhadap sesuatu perkara. Boleh jadi ada kejadian-kejadian tertentu yang mengubah sudut pandang seseorang, atau ada seseorang yang berjaya meyakinkan seseorang bahawa sesuatu perkara itu adalah selamat atau bahaya.

Apa yang lebih penting ialah anda harus betul-betul yakin dengan apa yang anda laburkan. Dapatkan pandangan pihak yang arif sekiranya anda tidak tahu. Dan jangan mudah terpedaya dengan tipu daya skim piramid, skim cepat kaya dan bermacam-macam skim yang wujud di dunia ini kerananya akhirnya yang merana adalah ANDA.



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.

08 October 2014

Perkara Wajib Tahu Sebelum Melabur (Bhgn 1)

Ramai yang mengambil mudah mengenai ilmu pelaburan sehingga banyak skim cepat kaya mudah memanipulasi mereka. Banyak kes penipuan yang berlaku adalah disebabkan pelabur dikaburkan dengan kemewahan pulangan yang dijanjikan. Letak RM10,000, dalam masa 3-4 minggu boleh jadi RM20,000. Siapa yang tidak mahu?

Anda sebenarnya perlu tanya banyak tentang pelaburan tersebut.

#1 - Ke Mana Duit Dilaburkan

Untuk sesuatu pelaburan itu memperolehi pulangan, produk atau perkhidmatan di mana ia dilaburkan itu harus mempunyai nilai material yang boleh diurusniagakan. Pelabur harus jelas tentang produk atau perkhidmatan tersebut dan jelas juga macam mana urusniaga dijalankan sehingga ia beroleh keuntungan.

Seringkali penipuan berlaku kerana pelabur tidak jelas dan dijelaskan bagaimana wang yang dilaburkan itu dikendalikan sehingga beroleh pulangan yang dijangkakan. Penipu sering mengaburi pelabur dengan pulangan yang luar biasa tinggi agar pelabur tidak berfikir panjang tentang ke mana duitnya dilaburkan. Penekanan yang sangat kuat diberikan tentang kekayaan yang kononnya bakal diperolehi oleh pelabur dalam tempoh yang singkat. Apabila "angan-angan Mat Jenin" mula bermain dalam minda pelabur, pada waktu itu tanah warisan atau simpanan pencen pon boleh habis dilaburkan.

Pelaburan yang benar ialah pelaburan yang jelas bagaimana wang pelabur dikendalikan. Sebagai contoh, pelaburan dalam unit amanah atau unit trust.

Dalam unit amanah, wang pelabur akan diserahkan melalui Unit Trust Consultant (UTC) kepada Fund House yang diwakili oleh UTC itu. Contoh Fund House adalah seperti Manulife Asset Management, CIMB-Principal, Affin Hwang, dan Public Mutual.

Apabila wang pelabur diterima oleh Fund House, wang tersebut akan diserahkan kepada Fund Managers yang terlatih dan telah dilantik untuk mengendalikan wang pelaburan tersebut sesuai dengan jenis fund yang dinyatakan.

Bagi melindungi hak pelabur dan mengawal Fund Managers daripada terpesong daripada objektif pelaburan, maka wujud satu lagi pihak yang dikenali sebagai Trustee. Trustee bertindak sebagai penyelia kepada Fund Managers bagi memastikan wang pelabur tidak dilaburkan sewenang-wenangnya.

#2 - Apa Risiko Dalam Pelaburan Itu

Tiada pelaburan yang tiada risiko. Hatta pelaburan yang sangat rendah pulangannya sekali pun, ia masih mempunyai risiko kerugian, walaupun ia sangat minimal. Apatah lagi pelaburan yang menjangkakan pulangan yang tinggi, sudah tentu risiko kerugian juga tinggi.

Sekiranya ada orang menawarkan suatu bentuk pelaburan kepada anda yang tiada risko tetapi menjanjikan pulangan yang luar biasa tinggi, ketahuilah bahawa orang itu sedang cuba memerangkap anda. Tetapi anda jangan cepat menuduh dia menipu, pasti dia akan bertindak defensif dan akan menafikan segala pertuduhan anda.

Apabila anda ditawarkan dengan apa jenis pelaburan sekalipun, anda wajib bertanya tentang risiko anda kehilangan duit pelaburan tersebut. Kerugian anda boleh berlaku dengan bermacam-macam cara, antaranya ialah barang atau perkhidmatan tak laku, harga produk jatuh, produk rosak, dan sebagainya.

Dalam pelaburan unit trust, risiko yang pelabur tanggung ialah pada kejatuhan harga unit yang dibelinya. Naik atau turunnya harga unit itu berkadar langsung dengan "underlying assets" yang telah dinyatakan dalam prospectus untuk Fund atau Dana yang dibelinya. Sekiranya underlying assets naik, maka naiklah nilai unit itu, begitulah juga sebaliknya.

Contoh-contoh Unit Trust
1. Manulife Investment CM Shariah Flexi Fund
2. Manulife Investment HW Shariah Flexi Fund

(Bersambung...) Bahagian 2



Jika artikel ini bermanfaat, share kepada rakan-rakan anda. Like FB Urus Diri Urus Wang untuk mendapatkan post terbaru di blog ini melalui facebook anda.